Hutan adalah satu khazanah yang berharga kepada semua orang di bumi ini tidak kira di manapun kita tinggal. Hutan memainkan peranan yang penting dalam menjaga nilai kehidupan alam. Hutan penting bukan sahaja sebagai tanah ladang, tetapi sebagai simpanan balak, sumber spesimen biologi dan sebagai habitat bagi berbagai variasi flora dan fauna.
Selain menjadi habitat semulajadi kepada lebih 75% spesies tumbuh-tumbuhan, haiwan dan serangga yang terdapat di dunia, peranan hutan termasuklah sebagai tempat perlindungan semulajadi bagi orang-orang asli, kawasan tadahan air, sebagai bunga karang yang menyerap air hujan, penstabil cuaca bumi dan penawaran oksigen, ejen pembersih udara, sumber bahan mentah, perubatan, sumber bahan getah, sumber kayu-kayan, sumber pendapatan negara, pewarna, sumber getah, minyak bauan asli dan sebagainya.
Kesimpulannya, hutan adalah unsur penting yang membentuk ciri-ciri alam semulajadi, menyediakan berbagai keperluan asas kepada kehidupan haiwan dan manusia.Tetapi pembangunan pesat yang berlaku sedikit sebanyak mengancam keadaan semulajadi hutan. Kesedaran, pengawalan & pemuliharaan perlu dilakukan bagi membendung kemusnahan hutan yang berterusan serta melindunginya sebagai suatu khazanah yang sangat penting untuk generasi akan datang.
Imej-imej yang aku paparkan adalah sebahagian panorama yang aku rakamkan semasa berkunjung ke Taman Negara di Pahang. Mungkin aku memandang hutan melalui cara yang berlainan sedikit. selain dari fungsi-fungsi yang dinyatakan di atas, hutan bagi aku merupakan salah satu terapi yang amat berkesan dan mendamaikan jiwa. Jauh dari segala hiruk-pikuk, hingar-bingar, riuh-rendah & kelam-kabut kawasan pekan dan bandar. Satu sumber ketenangan serta inspirasi selain menghayati keindahan dari sudut yang berbeza. Aku cuba buktikan bahawa hutan juga kaya dengan keindahan & nilai seni yang tinggi, Meriah dengan warna-warna alam & warna-warna inilah yang cuba aku terapkan dalam mencipta kedamaian di teratak kami agar suasana tenang yang dapat dinikmati di hutan boleh kami rasai walaupun hanya sekelumit... ..
Tiada ulasan:
Catat Ulasan