Kembali ke

Rabu, 28 Oktober 2009

Pagar Kayu...


Selain dari Pintu pagar, awning & kolam ikan, projek lain yang termasuk ke dalam pakej ubahsuai Teratak kami ialah pagar kayu... Sebenarnya pagar ni dah lama aku rancang. Tapi, peralatan pertukangan & modal untuk membeli bahan-bahan mentah masih belum mencukupi. Aku pun memang dah nekad untuk merekabentuk & menyiapkan sendiri.

Pagar kayu ni cukup popular untuk rumah-rumah yang mengenakan konsep seperti nusantara, bali atau tropika. Cuma aku tak mahu terikut-ikut dengan rekabentuk yang dah biasa aku nampak. Sebab utamanya aku pasti adalah kos selain tahap kepayahan untuk membinanya memerlukan kemahiran pertukangan yang tinggi. Justeru, sekali lagi aku cuba fikirkan rekabentuk yang paling ringkas , kemas & mudah untuk dibina serta bajet yang rendah.
Prosesnya agak sedikit rumit. Mula-mula sekali aku kena ikat batu-bata lebih kurang 3 kaki tinggi. Lepas siap plaster dan di sapu cat, aku mula lekatkan besi L setiap penghujung yang telah ditebukkan lubang-lubang untuk mengikat kayu-kayu pagar yang telah dipotong mengikut ukuran dengan skru. Bagi memudahkan proses pemasangan, aku nasihatkan kayu & besi yang akan digunakan disapukan cat terlebih dahulu. Selepas siap dipasang, bolehlah di touch up mana-mana cat yang tertanggal.
-


Berdasarkan ciri-ciri pagar kayu yang termampu aku fikirkan, inilah hasilnya. Memang cukup ringkas. Sebagai nilaitambah, aku cuba terapkan sedikit elemen seni/ nilai estetika yang agak sesuai untuk digabungkan. Aku lekatkan batu hiasan bali yang aku beli di Sungai Buloh...
Keseluruhannya, proses menyiapkan pagar kayu ni bukanlah terlalu sukar sebab aku berjaya siapkannya lebih kurang seminggu dengan sedikit bantuan isteri...

Selasa, 27 Oktober 2009

Misi Mencari Rhapis Multifida...

Sejak beberapa minggu lepas, aku 'terpaut' dengan salah satu spesis pokok hiasan baru di pusat membeli belah Alamanda, Putrajaya. Kalau tak silap nama pokok tu Slender lady Palm atau nama saintifiknya Rhapis Multifida. Banyak jugak nursery yang aku jenguk, tapi tak jumpa. hinggalah dua minggu lepas semasa berkunjung ke deretan nursery di Sungai Buloh. Hampir semua tempat menjual pokok ni. Masalah baru pulak timbul. Mulanya aku jangkakan harga spesis palm ni serupa macam pokok palm yang lain macam bambo palm atau Ereca palm (Chrysalidocarpus). Tapi, tiga empat kali ganda... kalau dalam polibag tu ada yang RM75, RM85, RM120+++ Paling murah pun yang aku jumpa RM38, itupun anak pokok yang mungkin membuatkan aku terpaksa menunggu tiga empat tahun baru boleh dapat saiz yang aku nak. Ada yang siap berpasu tu sampai RM220... Senyum jelah... bukan dalam bajet kami...
-

Kami tak berputus asa. Minggu lepas kami ke Nilai. ada lah tiga empat nursery yang aku biasa pergi kat Nilai, singgahlah satu tempat tu... Ini kali kelima aku ke sana. Aku memang respect kat tuan punya & juga pekerja-pekerja nursery ni. . Sebabnya, setiap kali datang, koleksi pokoknya sentiasa subur, berbunga & dijaga rapi. Kedudukan juga sentiasa berubah, bersih, selesa & seronok untuk dipandang atau dijelajah. berbeza dengan kebanyakan nursery lain yang kami kunjungi, biasanya kedudukan & susunatur pokok masih di tempat sama, rumput & semak samun semakin menutupi bumi. Koleksi pokok pun semakin berkurangan atau pokok-pokok lama umpama tidak terjaga atau dibaja & mungkin kurang subur/rosak...
-
Isteri kesayangan aku memang pantang tengok pokok berbunga. Tak kira bunga apa, cuma dia berat sikit pada pokok bunga Ros dan bunga Kertas. Banyak pulak pokok bunga Kertas yang berbunga lebat kat sini...

Berbalik pada misi mencari Slender Lady Palm, alhamdulillah... Tak sangka di sini aku temui apa yang aku cari. Harganya jauh lebih murah berbanding tempat lain & saiznya jauh lebih besar. Pokok & daunnya pun kelihatan subur & sihat.
-


Tak cukup dengan itu, Untuk kepuasan yang maksimum, kami beli kedua-duanya (Slender lady palm & pokok bunga kertas(bourgenvilla) berwarna putih). Nampaknya misi kami untuk hujung minggu ni berjaya... walau apapun, perjuangan kami masih belum selesai...

Bakat Diasah vs Bakat Terpendam...



Ini cerita tentang puteri & putera... Isteri kesayangan aku pernah kata "anak perempuan study hard, anak lelaki study smart". Itulah yang aku nampak pada anak-anak kami. Si Kakak mula berjinak dengan pensil & warna semenjak berumur 2 tahun. Si Adik pulak semenjak berusia setahun setengah, bukan pensil atau pensil warna tapi dengan Ultraman Gaia, Tiga, Nexus, Max.. semualah Ultraman dia kenal.. -sampai bawak tidur.. Selain tu dia juga peminat setia Power Rangers. kalau ikut bahasa pelat dia - "ome kaya" & "awe anjes" ;) banyak-banyak lagu yang dia hafal -"Go go awe anjesssss....". Aku tak pernah halang atau galak apa yang puteri & putera kami minat. Lebih-lebih lagi puteri kami yang sudah mula minat belajar A,B,C semasa berumur 2 tahun setengah. Mula mengira semasa berumur 3 tahun, & mula minat mengaji Alif Ba Ta ketika berumur 3 tahun setengah. Anak ni biasanya mudah tertarik untuk melakukan sesuatu mengikut persekitaran. Mungkin ibubapa, pengasuh, atau mungkin juga kawan-kawan.
-
Bakat menyambung titik & mewarna ketika berusia 2 tahun setengah

Mula minat menulis seawal usia 3 tahun

Puteri kami kini berusia 4 tahun setengah. Mewarna memang dah jadi aktiviti hampir setiap hari sejak lebih dua tahun. kalau nak dihitung, hampir setiap dua minggu pasti ada pensil warna baru yang mesti dibeli. Tak lama lepas tu minat pulak dengan krayon. kami pun belikan. akhir-akhir ni, dia mula minat mengeja. Sebelum ni "A Ba Ta, Tsa Ha Ya, Ja Ha Ba..." tapi sekarang ejaan rumi pulak "Ba Bi Bu, Bi Bu Ba, Cu Ci Ca, Di Du Da... -suara yang sering kedengaran saban malam...
-
Untuk putera, kami sentiasa cuba mengelak untuk mendekati sebarang gerai atau sudut barang permainan apabila keluar ke kedai atau membeli belah. Tapi, anak kecil ni semakin membesar semakin pintar. Ke mana pun kami bawa, dia dah hafal tempat-tempat tu. tak boleh nak elak. Beli atau meraung & tunjuk perasaan...
-
Minggu lepas, aku & isteri saling memandang & tersenyum... sesuatu yang sedikit luar biasa bagi kami telah berlaku secara tiba-tiba. sehari sebelum tu kami belikan beberapa buah buku latihan kotak-kotak. (Kalau dulu-dulu kita panggil buku untuk mata pelajaran Ilmu Hisab peringkat awal sebab kotaknya besar-besar).
-

Sejak malam tu si putera mula minat untuk mewarna. Dalam keadaan yang sangat khusyuk(asyik) sampai tak sedar kami perhati. Dipusingkan ke kiri, ke kanan buku tu untuk mendapat keselesaan gaya mewarna. kadang-kadang, dia sendiri yang bangun beralih & bukannya buku tu... :) Agak berbeza dengan gaya si Kakak yang mempunyai gaya mewarna yang relax & steady...

-
Ini antara koleksi 'abstrak' hasil nukilan putera kami
Sejak malam tu, 'Ome Gaya' & 'Awe Anjes' nya tak pernah disentuh sebab pensil warna dan buku mula menjadi permainan si Adik... Banyak juga lukisan 'abstrak' hasil tangannya berjaya dihasilkan. Mungkin juga sebab sebelum ni dia banyak practise & buat latihan melukis abstrak di dinding.... :) Sempatlah juga aku rakamkan sebahagiannya untuk membuat penilaian & kenangan. Dalam peringkat usianya yang akan mencecah 3 tahun hujung tahun ni, mungkin memang dah tiba masanya untuk kami menanamkan minat mewarna & menulis kepada si adik ni...
-

Tak dapat nak agak imej atau motif apa yang dilukis

Si kakak pulak kira advance jugak. menulis sekarang tak mau pensil, tapi pen. Mewarna pun semua jenis dia dah cuba. Pensil warna, krayon dan sejak sebulan lepas mula minat mewarna atas canvas menggunakan acrilic & water color...

-

Inilah sebahagian hasil lukisan canvas yang diwarnakan oleh Puteri kami.

Bagi aku, bakat semula jadi yang terpendam atau bakat yang diasah & diasuh sejak awal, ianya sama istimewa & sama pentingnya untuk digilap. Selain didikan agama, sekurang-kurangnya kalau dapat ditambah dengan sedikit kamahiran seperti melukis, bersukan, atau mengira, elok jugak. Kalau tak dapat jadi anak sepintar Adiputra, jadi lebih atau kurang sikit daripada itu pun ok lah... ;) InsyaAllah selagi hayat dikandung badan, anak-anak adalah keutamaan kami suami isteri. Waktu makan tengahari di kafetaria, nasi campur sepinggan RM5 pun terasa mahal & kekadang berkira-kira nak bayar. Tapi kalau untuk anak, barang RM10 rasa macam murah & ok je... Itulah pengorbanan. Yang ni aku percaya, semua orang macam tu... :)
-

Isnin, 26 Oktober 2009

Lukisan Alam...


Dinding merupakan salah satu elemen penting yang perlu diberi perhatian bagi seni hiasan dalaman. Jika feature wall, bolehlah ianya di cat dengan warna yang berbeza dari dinding yang lain supaya ia lebih dominan. Namun bagi dinding yang lain, walaupun bukan berfungsi sebagai tarikan utama, ianya juga patut dihias atau tidak dibiarkan kosong. Pelbagai aksesori dinding dapat kita lihat pada masa ini termasuk bingkai gambar, Seni foto, Seni khat, lukisan, Pua kumbu Sarawak, jam dinding dsb.

-

Bagi projek kali ini, aku cuba memaksimumkan kreativiti yang ada. kebetulan selain dari menyediakan taman mini dengan pepohon menghijau, aku juga minat merakamkan imej-imej pokok dan bunga-bungaan.

-


Dari situ, aku terfikir untuk menjadikan imej yang aku rakamkan sebagai hiasan di dinding. Modal tetap kena keluar. Bingkai gambar aku dapatkan di IKEA. Imej-imej yang aku dah pilih, diubahsuai dengan sedikit effect menggunakan adobe photoshop. lepas print, aku bingkaikan & seterusnya jadilah hiasan dinding ruang tamu kami....
-


Baru-baru aku ada bawak family ke KLCC melawat Pameran Homedec. Satu pameran yang sangat menarik, lebih-lebih lagi untuk mereka yang akan, baru membeli atau sedang mengubah suai rumah. Sesuai jugak untuk mereka yang masih tercari-cari konsep atau segala jenis aksesori rumah. Dalam pameran tu, ada dua tiga gerai pameran yang aku perasan ada menjual jam dinding style baru. Iaitu jam yang digabungkan dengan siri 3 lukisan abstrak macam lukisan atas canvas. Ini kali pertama aku nampak. Sama ada ini satu produk baru atau memang aku sendiri yang tak perasan kemunculan jam ni di pasaran, tak kisahlah. Yang pasti memang aku terpikat & hampir-hampir jugak nak terbeli. Bila dah difikir-fikir lima enam kali, aku yakin untuk hasilkan sendiri dengan segala kemahiran yang ada. Boleh atau tidak, itu satu cabaran baru untuk aku... Bolehlah aku cerita bila projek ni menjadi kenyataan nanti....

Mengisi Masa Terluang...


Kebanyakan aktiviti aku di hujung minggu biasanya dihabiskan bersama keluarga. Mungkin takde beza dengan orang berkeluarga yang lain. Apa yang beza sikit ialah, dalam banyak masa yang dihabiskan dengan keluarga sebahagian besar daripadanya diluangkan untuk berkebun atau aktiviti di laman, sebahagian lagi masa untuk membawa keluarga keluar bersiar-siar.... Bersiar-siar ni termasuklah ke tempat membeli belah, tak kira ke manapun, yang penting biasanya ada playground untuk anak-anak bermain sepuas hati. Tapi tempat wajib yang biasa dikunjungi adalah nursery & kedai barangan kraftangan atau landskap. Ini bermakna kebanyakan masa terluang aku didominasi dengan aktiviti melibatkan pokok, pokok dan pokok.. Apa yang penting, hampir semua aktiviti tu aku jalankan bersama keluarga. Sekurang-kurangnya ada tugas rutin menanti setiap hari seperti mencantas pokok, membuang daun mati, menyiram, membaja, menyemai anak pokok yang kian membiak, selain membelek pokok-pokok yang ada...

Beberapa minggu lepas, aku diarahkan menjalankan sedikit tugas di Banting. Ditengah-tengah perjalanan dalam kawasan Olak Lempit, aku ada terperasan satu kawasan kebun sawit yang telah diratakan untuk dijalankan projek perumahan. Apa yang menarik perhatian aku, dekat kawasan yang telah diratakan itu ada terdapat sekumpulan pokok dari spesis Heliconia (psittacorum). Koleksi spesis ni pernah aku bawa dari kampung, tapi warna lain sikit-kuning & merah. Yang ini spesis merah oren, warna memancar dari jauh...


banyak juga anak-anak pokok yang berjaya dicabut untuk aku semai ke pasu-pasu semaian. Bolehlah aku pindahkan ke pasu besar atau tepi pagar bila sampai masanya...
-

Jumaat, 23 Oktober 2009

Transformasi Pintu Pagar...


Pintu pagar merupakan elemen utama yang mendominasi sesuatu kawasan atau ruang. Persepsi tetamu biasanya bermula di pintu pagar. Sebabnya, melalui pintu ini kita boleh memahami tentang konsep dan citarasa yang digarap oleh penghuninya.
Untuk pintu pagar rumah kali ini, sebenarnya beberapa tranformasi telah aku lakukan. Namun apa yang penting aku masih menggunakan struktur asal untuk mengelak pembaziran...
-
Ini rupa asal pintu pagar dari pihak pemaju. Maklumlah, hampir setahun setelah siap, rumah ni tak berpenghuni, jadi warna maroon asal yang dicat mulai tertanggal dah sedikit berkarat. Aku pun cat dengan warna kelabu cerah supaya sama dengan grill rumah.
-
Setahun kemudian, untuk dipadankan dengan warna-warna kayu pergola dan pokok-pokok yag mulai menghijau, aku cuba buatkan effect sikit pada warnanya ala-ala macam wrought iron. Saje biar nampak macam eksklusif sikit. Leceh juga sebab banyak kerja-kerja tambahan kena buat. Cat asal yang memang dah berlapis kena dikikis, lepas tu cat hitam. Lepas kering cat hitam tu kena pulak buatkan effect tu. akhir sekali mesti disapu dengan clear. Tiga sapuan ni semuanya dijual dalam satu set & mahal sikit berbanding cat biasa... Ini semua aku lakukan sebagai persediaan untuk aku ubah pintu pagar ni kepada kayu. tunggu cukup modal.
-
Beberapa bulan selepas tu, bila modal dah ada, aku sediakan beberapa batang kayu jenis resak berukuran 4" X 1" untuk 'dilekatkan' pada pintu agar asal. memang leceh sikit sebab kena turunkan keseluruhan pintu untuk proses mengukur dan memotong kayu supaya ukuran dan potongannya seimbang.
Selepas diukur, dipotong dan dicat, akhirnya beberapa lubang skru perlu ditebuk pada besi untuk dilekatkan kayu-kayu tu.
-
Untuk kemasan akhir, aku beli dua keping batu berukiran ala Bali di Sungai Buloh. Proses melekatkan batu ni pun makan masa jugak sebab perlu disiapkan framenya terlebih dahulu. Bila dah siap semuanya bolehlah di touch up sikit mana-mana cat yang tertanggal. Akhirnya, begini pintu pagar yang berjaya dihasilkan dengan kerja tangan sendiri.
-
Ini rupa akhir pintu pagar kami... pintu ni mungkin nampak simple je. Apa yang penting, idea ni tak habis macam tu je sebab buat masa sekarang ada dua tiga rumah di sekitar rumah aku ni yang mengikut jejak langkah aku buat pintu pagar kayu dan pintu kecil taman yang rupa dan bentuk 97.35% macam pintu pagar rumah aku... -ilmu dikongsi bersama ;)

Rabu, 21 Oktober 2009

Ruang Lama Nafas Baru...



Tiga minggu lepas, aku & isteri cuba buat proses pemutihan pada taman mini kami. Maklumlah kalau dah setiap hari duduk & pandang perkara yang sama, walaupun terlalu sayang, sedikit sebanyak timbul jugak perasaan jemu di mata kita. Justeru, kami bercadang untuk merombak sebahagian layout taman dengan sedikit sentuhan baru. Penghujungnya, beberapa koleksi pokok terpaksa diketepikan. Aku memang sayang dengan semua pokok2 yg telah diketepikan ni, tapi macam rombakan kebinet, sebahagiannya terpaksa juga dikeluarkan. walaupun banyak berjasa sbg penyeri taman. Bagi mengelakkan perkara tak diingini berlaku, aku dengan rela hati menyerahkan sebahagian dari koleksi kehijauan taman kami kepada sahabat yang kini sudah mulai berjinak-jinak dengan keseronokan alam berkebun dan seni hias taman... (Mcm nak serah anak untuk dibela oleh org lain)... tapi lega, sekurang-kurangnya ada orang lain yang boleh menjaganya dengan baik, atau mungkin lebih baik...
-
Inilah koleksi penyeri taman yang aku sedekahkan. Koleksi yang menarik, tapi mungkin disebabkan proses pembiakan yang terlalu pantas ditambah pula ruang & saiz taman yang terhad, terpaksalah dipindahkan ke taman lain... sedih jugak..

bila dah dirombak, kami dapati beberapa pasu perlu ditukar kerana sebahagian pokok yang semakin membesar. begitu juga ruang yang sedikit lapang perlu diisi kembali dengan koleksi2 baru. So, Hujung minggu lepas kami mencuci mata ke Sungai Buloh. Pantang untuk kami ke sana kalau sekadar menghabiskan petrol je. Selain pasu, ada lah beberapa spesis pokok2 yang aku berkenan... Antaranya Bird of paradise(strelitzia reginae). koleksi yang memang dah lama aku cari. Cantik, tapi mahal. Minat punya pasal, aku beli jugak satu...
-

Isteri keasayangan aku pulak memang pantang tengok pokok Ros yang berbunga. Belilah jugak dua tiga pokok. Selain tu ada lah dua tiga pokok lain yang kami berkenan buat memenuhi ruang taman dengan koleksi-koleksi baru...

Boleh juga pokok2 ros ni menjadi penghias dek & kolam ikan kami...

Satu Permulaan...


Dimana ada kemahuan, disitu ada jalan, ada usaha ada lah kejayaan. Inilah berkat usaha rakan sekerja aku yang semakin bergiat aktif menghijaukan taman mininya. Tengok gambar 1, imej ni di rakam lebih kurang 5 bulan lepas. Imej 2, dirakam 2 bulan lepas.

kat bawah ni pulak imej terbaru yang dirakam minggu lepas. Siapa tak seronok kalau dapat melihat rumah sendiri dihiasi keindahan taman mini yang menghijau. Walaupun simple & dengan ruang yg terhad, yang penting ada minat dan kreatif. dapat juga dijadikan satu hobi dan aktiviti selepas waktu pejabat...


Boleh tahan.. Boleh dijadikan ruang bersantai & beristirehat untuk keluarga...
Macam ni tak risaulah aku nak 'tumpangkan' pokok2 lain ke sini... :)

Jumaat, 16 Oktober 2009

Setenang Air di Kolam...




Tak sempurna rasanya taman yang dipenuhi dengan kehijauan pokok tanpa desiran air di kolam yg menjadi tempat bermain ikan-ikan hiasan. Untuk aku, tak lain tak bukan mestilah ikan koi. Bukan apa, sejak dibangku sekolah sampai sekarang ni dah selalu sangat terpandang kolam-kolam hiasan di nursery2, rumah2 & pejabat2, kebanyakannya dihuni oleh kan koi ni. So, mungkin dah terlekat dalam fikiran, ikan koi ni ikan wajib untuk kolam-kolam hiasan dalam taman...

Untuk projek kolam ikan ni, aku plan nak buat secara pakej. Mula2 aku ingat nak gunakan kemahiran aku 100% untuk hasilkan kolam ni. Tapi, suatu hari aku & famili cuci mata di Kompleks PKNS Shah Alam, kami terjumpa satu gerai pameran perabot2 taman mcm pergola & kolam ikan. Kebetulan masa tu aku memang beriya-iya nak buat kolam, jumpa pulak gerai yg tengah buat promosi... apa lagi, sambar jelah....Maksudnya aku masih perlu sediakan dek & awning dengan tangan sendiri. satu cabaran baru untuk aku...

Mcm biasa. Aku gunakan kayu Resak untuk projek perkayuan & petukangan ni...

Inilah antara proses2 yang terpaksa dilalui... Mula2 ikat batu dinding untuk mengelakkan sebarang gangguan ke rumah jiran sebelah. sebahagian pokok2 yang ada terpaksa dikorbankan... Pokok buluh pulak kenalah dipindahkan..



Bila dinding dah naik, aku naikkan awning yang serba ringkas. Sesuailah dengan taman mini kami ni. Payah jugak nak naikkan sebab buat sorang2... Sengaja aku naikkan dulu awning ni sebelum buat dek supaya dapat aku buat kerja seterusnya dalam cuaca yang redup. Redup sikit je sebab guna polycarbonate. Aku guna material ni sebab lut sinar. Cahaya masih boleh masuk untuk kesihatan pokok...

Dah siap dek, apalagi... aku letakkan terus set kolam yang aku beli...



Macam biasalah... tak sah kalau takde pokok hiasan di kolam ni.. aku pun takde masalah dengan pokok2 ni sebab semua koleksi pokok memang dah tersedia....


Inilah hasilnya..... Bolehlah jadi tempat aku relaks & lepak2 dengan isteri & anak2 bila balik ofis atau menghirup udara malam...


Aku masukkan anak ikan koi dalam 10 ekor. Beli kat KL. Dalam 6 bulan aku dah rasa kolam ni mcm tak cukup ruang sebab ikan2 ni sihat2 & cepat membesar... Mungkin aku kena fikirkan sesuatu lepas ni...

Rabu, 14 Oktober 2009

Pergola + Awning


ini percubaan pertama dalam menghasilkan satu binaan yang agak complicated bagi aku. maklumlah, takde pendidikan formal tentang ilmu pertukangan selain subjek seni perusahaan masa form 1- form 3. Projek awning ni aku jalankan dalam bulan mei 2008. Jangkamasa disiapkan dalam seminggu. biasalah, projek sendiri, ambil masa lama sikit pun takpe. Modal pun tak berapa besar sebab guna kayu jenis biasa je...

Ni bahagian yang aku pasangkan awning tu. Mulanya aku nak buat awning mcm biasa je ikut jiran2 yang lain. tapi bila difikirkan pasal tema & konsep senibina yang nak aku terapkan pada teratak kecil kami ni aku pun terfikirkan konsep ala2 pergola.

Lepas siap pasang, aku rasa macam masih ada kurang. Aku terfikirkan sesuatu untuk nampakkan awning ni lebih kemas dan berketerampilan sikit... Aku padankan dengan polycarbonate supaya awning ni nampak bergaya sikit di mata aku. Kos keseluruhan lebih kurang RM250. Finishing memang tak seberapa sebab kekurangan peralatan pertukangan yang penting seperti jigsaw, grander & sebagainya. Tapi aku puas hati sebab aku berjaya usahakan projek ni dengan keringat sendiri. Mungkin untuk projek seterusnya, bolehlah aku cantikkan sikit hasil kerja kayu bila dah cukup peralatan, terutama sekali bahagian hujung kayu kelihatan terlalu statik.



Cuti Panjang...

Sejak 20 Ogos lepas, inilah kali pertama aku berpeluang mengupdate cerita2 baru kehidupan aku ni... Mungkin terlalu sibuk dengan tugas2 rasmi & tak rasmi yang berkaitan dengan isteri & anak-anak. Maklumlah orang kerja makan gaji & berkeluarga ni slogannya lain sikit, kerja didahulukan, isteri & anak2 didiutamakan... maknanya yang lain2 tu letaknya di nombor 2++.

mungkin jugak bulan Ogos lepas kita semua sibuk menyambut Ramadhan. biasalah, dalam bulan ramadhan biasanya aku tak sempat nak buat kerja2 sampingan yang kurang faedah & ganjarannya, jadi blog ni pun aku tak sempat nak jenguk walaupun utk sekali.

Banyak juga cerita baru yang boleh dikongsi kalau diizinkan...

Tanduk Rusa...



Ini antara projek aku dalam bulan september. pokok ni dah hampir empat bulan aku cari kat Ampang. beli masa bawak anak2 melawat Zoo Negara. Aku beli dalam pasu. Tiga bulan lepas tu nampak macam sarat je pokok ni dok dalam pasu. aku pun carilah tunggul2 kayu yang terbuang masa bawak famili bermain layang-layang di Pantai bagan Lalang.