Kembali ke

Rabu, 21 April 2010

Melati air...2


Ini cerita tentang perkembangan Pokok Bunga Melati Air Bangkok, yang kini sedang berbunga di laman rumah. Bukanlah hebat sangat pun, cuma ianya koleksi kesayangan aku. Semenjak beberapa bulan menghuni di laman rumah ni, inilah kali pertama ia berbunga semasa dalam jagaan & aku dapat melihat sendiri proses berbunganya dari peringkat awal. Yang menariknya tentang pokok spesis ni ialah tangkai bunganya yang hampir menegak ke atas, berbeza dengan spesis lain yang melentur ke bawah. Selain tu, tangkai daun & bungan lebih tebal dan kuat...
-
Pokok ni aku beli di salah satu kedai di jalan Sungai Buloh, setelah membuat tiga pusingan meronda ke hampir setiap nursery yang ada menjual spesis ni. Kalau mengikut harga pasaran masa tu (hujung tahun 2009) sepasu pokok ni dijual RM40 -RM180. Tak mampu. Yang RM40 tu harga untuk anak pokok di pasu plastik hitam. Untuk yang RM180 tu, harga untuk pokok sahaja tanpa pasu diorang bagi RM90. Maknanya yang buat mahal tu ialah pasunya.. Teringat kira-kira 3 tahun lepas aku ada terjumpa spesis pokok ni di salah satu nursery di Batu Pahat, kalau tak silap harganya RM25. Nyesal tak beli... Tak sangka harganya akan meningkat berkali ganda...
-
Aku teruskan usaha mencari anak pokok yang agak-agak separuh dewasa & dijual dalam pasu semaian. Jumpalah dekat satu nursery yang lain, harganya RM80. Memang nampak sihat & subur. Bunga pun tengah berkembang, tapi harganya masih diluar kemampuan aku... & tiba-tiba di kedai yang sama jugak, aku terpandang satu pasu yang ada dua spesis melati air ni. Bila aku tanya kenapa dua pokok tu tanam dalam satu pasu, katanya pokok ni masih kecil & tidak berapa sihat. Memang pun, daunnya cuma 4 helai, ada juga setangkai bunganya yang baru nak keluar, tapi memang nampak tak berapa sihat pun. Bila aku tanya harganya RM28. Gitu gini, bodek-bodek sikit dapatlah RM20. Aku pun beli & nekad untuk cuba pulihkan kembali 'kesihatan' pokok ni... sampai rumah aku tukarkan pasu yang lebih besar sikit...
-

Dalam seminggu dua, memang bunganya berkembang, sama macam pokok Melati Air yang lain. Bezanya, pokok yang aku beli ni tangkai bunganya pendek, lebih kurang sekaki je. Untuk makluman, bunga melati air ni kembang hanya sekali & tempoh bunga bergantung kepada jumlah biji bunga yang terdapat pada tangkai. kalau panjang tangkainya cuma sekaki, biji kuntum bunganya tak banyak, maknanya tempoh kita dapat melihat ia berbunga memang singkat. Disebabkan kesihatannya jugak, habis je keluar bunga, tangkai bunga ni terus kering. Memang jelas tak sihat. Tangkai bunga Melati air apa spesis pun biasanya takkan kering selagi tak dipotong atau pokoknya mati. Biji bunga yang dah kembang biasanya lama-kelamaan akan mengeluarkan anak pokok yang boleh disemai... Disebabkan masalah ini,aku hanya mampu menjaga pokok ni dengan memastikan air yang cukup serta elakkan dari serangan kulat atau serangga...

Hampir 4 bulan dalam jagaan, takde bunga baru yang keluar. Daunnya pulak silih berganti, tapi tak tahan lama, berbintik-bintik, cepat kuning & kering dengan sendiri... selalu jugak aku spraykan racun organik supaya terhindar dari gangguan serangga perosak...
-


Sehinggalah pada Februari lepas, selepas aku baja pokok air yang aku beli di bangi, barulah pokok ni nampak sihat sikit.. daun dan batang semakin membesar. Dua minggu lepas tu mula keluarkan pucuk tangkai bunganya... alhamdulillah... Mungkin semangatnya dah kembali pulih...
-
Semenjak keluar pucuk tangkai bunga ni, setiap hari aku ikuti perkembangannya... memang berbeza dengan bunga pertama masa aku beli dulu... nampak lebih subur dan sihat...


Sekarang ni setiap hari aku akan belek pokok ni... takutlah kalau penyakit lamanya kembali menyerang. Cuma masalah yang melanda sekarang ni ialah hampir setiap petang mesti ada penunggu yang melekat di tangkai bunganya -belalang kunyit. Sedikit demi sedikit kelopak bunganya yang memang nipis tu diragutnya. kalau awal2 dulu, daunnyalah yang menjadi santapan...Takpelah, bermula awal bulan ni aku memang dah istiharkan semua belalang, burung & kucing yang menumpang makan, minum & berteduh di laman ni sebagai penghuni & penjaga laman, so.. ambillah bahagian masing-masing sebagai hanbuan... Orang kata, lagi dibenci, lagi kerap kita jumpa... jadi, buat biasa je...


Dua minggu lepas aku dah tukarkan pasu yang lebih besar supaya ia lebih selesa... & aku tugaskan sebagai penyeri wakaf...
-
Macam aku kata tadi, bukanlah hebat sangat untuk aku bercerita tentang pokok ni, cuma bila sesuatu usaha yang kita buat tu seakan berhasil, walaupun kecil, rasa puas & seronok tetap akan terbit & kekadang tu tak dapat nak sorok... samalah macam isteri aku dengan pokok bunga rosnya....

7 ulasan:

  1. Betul apa yang saudara cakapkan tu...kita akan berasa puas hai dengan hasil yang perolehi walaupun kecil. Tanam pokok ni nampak mudah tetapi kalau tak kena tak hidup juga @ hidup segan mati tak mau.

    BalasPadam
  2. Terima kasih. Awal-awal dulu, ada jugak beberapa kali pokok yang ditanam hidup segan mati tak mau, ada jugak terus mati. Tapi lama-kelamaan bila kita dah faham tentang habitat atau sifat sesuatu jenis pokok tu, mudahlah sikit kita nak tentukan jenis tanah, baja, air keperluan cahaya dsb...

    BalasPadam
  3. Salam kenal...
    Bro... kalau kat area shah alam dimana boleh dapat?

    BalasPadam
  4. Salam.... Kalau kat Shah Alam, bolehlah ke Jalan Sungai Buloh, ikut kpg Melayu Subang... Dalam deretan nursery yang banyak tu, ada dua tiga tempat je yang jual pokok ni... Tapi satu kedai je yang memang jual banyak pokok ni & harga pun sgt berpatutan.... tak ingat nama tmpt tu... kedai tu byk jual pasu & batu pemijak utk taman....- kat simpang 3, nak ke situ kena u-turn sikit... traffic light no 3... (kalau tak silaplah ye, sebab dah setahun lebih tak ke sana)...

    BalasPadam
  5. salam...Bro
    Terima kasih Dan lagi ingin bertanya
    1-untuk airnya adakah perlu dirawat dulu seperti campurkan dengan anti klorin
    2-baja apa yang sesuai untuk pokok dalam air ni

    BalasPadam
  6. Air tak perlu rawat... air biasa je (air paip atau hujan, tak kisah).. Tapi yang paling pening, tanahnya... satu-satunya tanah yang paling sesuai utk pokok air ialah tanah bukit (tanah merah).... ok, utk baja, ada beberapa jenis baja kapsul sebesar bola pingpong tp pipih, bukan bulat, memang khas utk pokok air... atau lebih mudah lagi, guna je baja bunga(warna putih kelabu).. kuantitinya dlm 1 sudu teh je, jgn byk sgt pulak...... ok..

    BalasPadam
  7. Terima kasih atas bantuan dan tunjuk ajar

    BalasPadam