Kembali ke

Jumaat, 9 April 2010

Tempoh Bertenang... Aktiviti Bebas...


Setelah hampir tiga minggu bertungkus lumus menyiapkan wakaf untuk teratak kami yang tak seberapa ni, sekaranglah masa yang sesuai untuk aku berehat seketika dari sebarang projek lain. Dalam bahasa kiasannya 'tempoh bertenang"... Dekat 3 minggu jugak aku tak sempat nak memberi perhatian yang sewajarnya kepada penghuni-penghuni yang menginap di laman rumah aku. Maksud aku ikan Koi serta pokok-pokok bunga yang selama ini diberi perhatian yang istimewa setiap hari.

Seminggu ni aku takde apa-apa aktiviti. Hari-hari biasa selalunya aku akan peruntukkan sejam atau lebih untuk membelek pokok-pokok yang ada. Selain daripada menyiram, biasanya aku akan cantas mana-mana pucuk atau daun yang patut buang. Cabut anak-anak rumput yang menyinggah di pasu-pasu. Ikat mana-mana pucuk tanaman memanjat yang perlu dibantu. Sebulan sekali aku akan menabur baja. Sebulan sekali jugak biasanya aku akan jadi tukang gunting untuk pokok-pokok yang perlu digondolkan. Itu lah rutin aku hari-hari...

-
Spesis Loropetalum Chinese yang sering menjadi mangsa guntingan aku setiap bulan. Ini rupa sebelum digondolkan. Pakar-pakar kata kalau nak lebatkan daun & rajin berbunga, kena selalu dicantas atau buang daun... Ada tekniknya tu...

Beberapa pokok kat laman tengah sibuk berbunga sekarang ni. Terutama sekali pokok Kockiana, Melati Air, Akar Dani & bunga Kertas. Kockiana ni kepunyaan isteri, aku cuma tolong jaga je (ikut ayat dia lah), memang rajin berbunga. Hampir setiap pucuk sedang berbunga. Cuma masalahnya isteri aku tak begitu gemar kalau setiap pucuk (termasuk pucuk paling atas) berbunga, sebabnya bila berbunga lambat sikitlah dia nak memanjat... aku tak kisah asalkan pokok tu sihat & selalu berbunga...
-
Spesis Bauhinia Kockiana yang setia menjadi penyeri laman kami semenjak zaman pergola hingga ke wakaf sekarang ni... Yang belah kiri tu pokok gantung. aku tak pasti apa namanya... beli masa karnival landskap kat Bangi...


Tengoklah perbezaan yang jelas spesis Melati air ni. Yang belah kanan spesis Melati Air Bangkok.

Pokok lain yang mula nak berbunga sejak minggu lepas ialah Melati air Bangkok. Ini kali pertama kami nampak ia nak mengeluarkan bunga dari awal. Memang berbeza dengan spesis Melati Air yang lain... menakjubkan.
-
Unik & menakjubkan...

Cuma masalah bagi pokok ni ialah serangan belalang pada hampir setiap daunnya. Tiap-tiap hari aku bertarung dengan belalang kunyit bersama anak-anaknya. Aku tak kisah sebenarnya kumpulan belalang tu nak tumpang dok laman, tapi bila mereka menyerang semua pokok-pokok yang ada tanpa belas kasihan, aku jadi kisah & mulalah buat serangan balas tapi dengan penuh belas kasihan. Spray je dengan campuran racun serangga organik (campuran cili, halia & bawang putih)... tapi belalang ni pun macam nyamuk jugak, sekali dua mungkin tak tahan bau & rasa racun tu, tapi lama kelamaan alah bisa tegal biasa... tak berkesan.. sabar jelah.. kira sedekah sudahlah...
-
Sempat juga aku skodeng belalang nian ak beranak belalang... Pucuk pokok mangga memang dah lama jadi santapan rutinnya...

Sejak siap binaan wakaf kat laman sekangkang kera ni, rasanya sebahagian koleksi pokok mungkin perlu dikeluarkan atau dirombak. Nak dibuang, memang sayang. Kalau tak letak di belakang rumah untuk proses pemulihan, biasanya aku sedekahkan pada member-member yang berminat dalam aktiviti menghias laman ni. Tapi kalau pokok yang tak berapa subur/elok tu biasanya aku korbankan je...

Apa agaknya aktiviti hujung minggu aku kali ni... aku pun belum fikirkan... Masih dalam 'tempoh bertenang'...

2 ulasan:

  1. salam, hari ini sy baru terjumpa blog ini atas pencarian mini lanskap, walaupun yg sy cari, adalh taman mini dlm rumah, tp byk info yg sy tak tahu ada di dini, taman yg dipaparkan, mmg cantik, dan sy dan suami juga mengimpikan sebuah taman seperti ini, soalnya, kami tiada imlu dan tiada pengetahuan didalam membangunkan sebuah taman, apatah lagi di rumah sendiri..boleh kiranya diperturunkan sedikit imlu bagaimana langkah pertama yg sepatutnya diambil? dan juga boleh sy tahu berapa anggaran kos yg diperlukan bagi keseluruhan taman yg dipaparkan ini?

    BalasPadam
  2. Assalamualaikum...
    Maaf sebab baru terperasan komen ni...

    Alhamdulillah, terima kasih atas pujian, cuma mungkin pujian tu terlalu tinggi untuk taman kami yang taklah secantik mana pun.... Mungkin dalam gambar je... Tiada masalah untuk berkongsi ilmu, cuma seperti yg pernah saya beritahu dalam komen balas sebelum2 ni, saya ni bukanlah profesional dalam bidang seni taman atau landskap ni, tapi minat yang mendalam mendorong saya untuk belajar & mengkaji sedikit demi sedikit dari yang lebih mahir. Mungkin cara saya tak berapa betul sebab banyak belajar hanya melalui buku & sumber2 internet shj. Bukan melalui guru. apa2 pun yang penting ada minat.

    Apa yang dpt saya katakan, untuk permulaan seelok eloknya buat banyak rujukan atau dptkan contoh2 taman mini yang kita inginkan. Boleh rujuk pada macam2 majalah berkaitan laman atau taman mini yang banyak dlm pasaran sekarang ni.

    Seterusnya cuba buatkan pelan atau perancangan rekabentuk taman yang kita inginkan Contohnya, konsep taman, pemilihan material, budget dsb. Yang ini penting, bincang bersama pasangan kita, manalah tau sbb citarasa kita biasanya tak serupa dengan semua orang. so kena ada persetujuan dengan pelan atau konsep taman yang kita inginkan.

    Langkah ketiga barulah proses membina landskap /taman mini kita tu. Tentukan hard landscape/softlandscape, perabot laman, tanaman hiasan dsb. Setengah2 orang lebih cenderung pada hard landscape iaitu taman yang lebih banyak dihiasi dengan struktur2 binaan yg besar/kekal atau perabot laman spt pergola wakaf dsb dgn sedikit sahaja pokok hiasan sbg penyeri. Begitulah juga sebaliknya dgn soft landscape.

    Bercerita soal kos atau budget, segalaya bergantung kepada bahan dan proses penyediaan... contohnya penggunaan jenis kayu untuk perabot laman, ianya berbeza mengikut jenis. Cengal dah tentu lebih mahal dari Resak. Resak pula lebih mahal dari Meranti. Namun harga bukanlah masalahnya jika kualiti dan jangkahayat/ketahanan menjadi ukuran kita.. Untuk taman mini di rumah saya, kosnya tak lebih RM10K disebabkan hampir 90% proses penyediaannya dilakukan sendiri kecuali proses mengikat batu-bata, plaster & memasang tiles... Harus diingat, proses membina sebuah taman mini bukanlah satu proses yang perlu dibina secara drastik/segera (buat & terus siap). Tentu sekali memakan masa... Apalagi jika kita membinanya sendiri. Saya sendiri mengambil masa lebih kurang 4 tahun...So, tak terasalah sgt kosnya..

    Saya perlu mengakui suatu perkara iaitu, guru2 tak rasmi saya ialah semua tauke2 kedai hardware dimana saya dapatkan bahan2 mentah utk bertukang, serta semua tukang2 kebun & tauke plant nursery tempat saya mencuci mata & membeli pokok2 hiasan... Jangan malu bertanya kalau kita nak belajar...

    Apa2 pun kalau kita berkemampuan, lupakan semua tu... cari majalah berkaitan taman/ laman/landskap & dail shj nombor telefon yang banyak terpampang pada iklan2 dlm majalah tu & pasti semuanya ditanggung beres..

    Jika kita ada keinginan, ada kesungguhan & berani mencuba, insya Allah impian boleh menjadi kenyataan... Selamat mencuba...

    BalasPadam