Kembali ke

Isnin, 11 April 2011

Jangan Jadi Kaduk Naik Junjung...


Tengok gambar kat atas ni... itu bukan pokok kaduk yang dah naik junjung ye, tapi pokok Akar Dani (Rangoon Creeper) yang dah naik bumbung... Bumbung mana? wakaf kat rumah aku... sebenarnya pokok ni aku dah cantas hampir setahun lepas sebab tengok gayanya macam tak berapa sesuai bila aku dah dirikan wakaf kat situ... Beberapa bulan lepas tu aku perasan, mungkin dari bekas batang yang masih berakar, pokok ni hidup balik & tak sangka boleh memanjat sampai ke bumbung... mungkin dia cari cahaya matahari... pokok Akar Dani memang perlu pada 100% cahaya matahari untuk hidup subur.. kalau tidak, memang takkan subur & berbunga...


Ini pokok Akar Dani Aci sebelah rumah... Tak putus-putus berbunga...


Ok, sebenarnya apa yang aku nak cerita kali ni takde kena mengena dengan pokok memanjat berbunga merah ni.. tapi tentang perangai manusia yang seringkali jadi kaduk naik junjung...



Bagai Kaduk naik Junjung ni maksudnya orang hina yang apabila mendapat keistimewaan (pangkat/kuasa) menjadi sombong atau mengada-ngada... Pemimpin yang sebegini tabiatnya, selalunya takkan berada lama di atas... Nauzubillah... semoga kita dijauhkan dari sifat macam tu atau seangkatannya.. Tiba-tiba terlintas perumpamaan tu dalam fikiran aku... Bukan apa, sebenarnya malam semalam baru je berlangsung mesyuarat agung persatuan penduduk kat taman perumahan kami... seperti dijangka, muka-muka lama berjaya mengekalkan posisi mereka terutama 4 jawatan utama -pengerusi, timbalan pengerusi, s/usaha & bendahari... Jangan salah sangka ye!!!, aku bukan nak mengaitkan sifat kesemua mereka ni dengan perumpamaan kaduk naik junjung tadi tu, tapi sebaliknya... nak menyatakan rasa kagum & hormat aku kepada mereka selain meluahkan rasa syukur & pujian sepenuhnya kepada Allah S.W.T. kerana mengizinkan sekali lagi kesemua mereka terpilih untuk penggal berikutnya 2011-2013...



Seperti yang pernah aku ceritakan serba sedikit tentang 'keaktifan' persatuan penduduk serta semangat kejiranan yang tinggi dikalangan penduduk di sini, orang-orang penting belakang tabir disebalik 'keaktifan' itu adalah hamba Allah berempat ini selain dibantu oleh beberapa AJK... alhamdulilah... Satu ayat yang dinyatakan oleh Ahli Majlis Perbandaran (yang merasmikan mesyuarat semalam) yang aku ingat lebih kurang begini bunyinya,"saya amat gembira dengan Persatuan Penduduk di sini, alhamdulillah... walaupun taman perumahan ini agak kecil jika dibandingkan dengan taman-taman lain, saya amat yakin persatuan penduduk di sini mampu memenangi anugerah jika ada pertandingan yang dijalankan oleh pihak majlis"... (pertandingan yang dimaksudkan tu bukanlah pertandingan sukaneka, bolasepak, tarik tali atau sebagainya, tapi pertandingan berkaitan aktiviti kemasyarakatan, kebajikan, kejiranan, gotong-royong, keagamaan dsb...



Disebabkan 'keaktifan' persatuan penduduk di sini juga, taman ini telah pun mendapat peruntukan tajaan yang lebih berbanding taman-taman lain yang lebih besar.... (tajaan yang dimaksudkan termasuklah peruntukan kewangan untuk semua aktiviti kemasyarakatan beserta makan minum & khemah untuk hari keluarga, gotong royong, majlis dialog, majlis perayaan dsb..)




Pengerusi persatuan penduduk kat sini juga dipertanggungjawabkan sebagai pengerusi surau walaupun surau masih belum terbina lagi ketika itu (sekarang ni 90% siap).... sumbangan cemerlangnya yang takkan dilupa oleh semua ialah mengerah segala keringat yang ada bersama beberapa AJK surau yang dipilih, turun naik ke beberapa agensi kerajaan, badan-badan agama islam, Adun, MP dsb, demi memastikan sebuah surau dapat didirikan & tersergam indah di taman ini untuk kemudahan penduduk beribadah dengan lebih selesa.... Terlalu banyak cabaran & halangan yang tak dijangka dalam proses mendapat & mendirikan surau ni sebenarnya... insyaAllah, seminggu dua ni siaplah surau kami...



Hampir 5 tahun hidup berjiran, rasanya aku kenal sedikit sebanyak keperibadian mereka berempat termasuk beberapa AJK yang amat disenangi oleh semua ahli... Kalaulah taman perumahan kami ni diibaratkan sebuah negeri, bolehlah aku anggap kesemua mereka sebagai MB & exco yang sangat efisyen & memahami serta prihatin terhadap masalah rakyat & tentu sekali akan dipilih semula untuk terus berkhidmat beberapa penggal lagi... :) cuma bezanya, mereka tak bergaji/elaun... Dan, di atas kecemerlangan mereka melaksanakan amanah & tanggungjawab, berkhidmat untuk masyarakat seikhlas hati tanpa sesen pun bayaran, aku doakan agar mereka semua beroleh kesejahteraan & rahmat dari Allah hendaknya... aku juga doakan agar mereka semua tidak akan jadi Kaduk Naik Junjung... insyaAllah...




Aku tahu, hamba Allah berempat ni bersama beberapa AJK persatuan yang terpilih takkan pernah terbukak, atau terbaca blog aku ni... Tak kisah, biarlah rasa hormat & pujian aku hanya Allah yang tahu... (selain dari pembaca-pembaca blog...) sekurang-kurangnya kalau yang terbaca tu adalah mereka-mereka yang masih, atau akan terlibat dengan mana-mana persatuan penduduk, bolehlah jadikan ini sebagai inspirasi & semangat untuk berkhidmat atau menyumbang kepada persatuan masing-masing.... Kadang-kadang manusia boleh berubah apabila diberi pujian yang melangit... jadi biarlah rasa ikhlas berkhidmat untuk masyarakat tu terus kekal dalam hati sanubari mereka... insyaAllah...



& itu lebih baik....

Tiada ulasan:

Catat Ulasan