Kembali ke

Jumaat, 8 April 2011

Tazkirah... Kisah Mus'ab Bin Umair


Tazkirah kali ni lain sikit dari sebelum2 ini yang selalunya menjurus kepada berpesan-pesan & ingat mengingati atau muhasabah diri... kali ni kami dijamu dengan kisah sejarah sahabat Rasulullah S.A.W. iaitu Mus’ab bin Umair(مصعب بن عمير)...walaupun ini kali pertama aku dengar kisah ni, aku percaya ramai antara kita yang dah tahu kisah di sebalik nama Mus’ab Umair ni... Sebak... Banyak pengajaran yang tersirat dalam kisah Sahabat ni... aku cuba ringkaskan, tapi tetap juga panjang sebab nak bagi terperinci sikit... bacalah kalau berkesempatan.... Untuk mengelakkan kebosanan, aku dah sediakan ilutrasi/gambar-gambar hiasan yang bersesuaian dengan jalan cerita.....



- Mus’ab bin Umair adalah sahabat Rasulullah S.A.W., Sebelum memeluk Islam, dia berperawakan lemah lembut, suka berpakaian kemas, mahal dan indah.



- Keadaan dirinya yang mewah dan rupanya yang kacak menyebabkan Mus’ab menjadi kegilaan ramai gadis di Mekah.


- Anak yang paling disayangi ibunya berbanding adik beradiknya yang lain.


- Ibunya begitu marah selepas mendapat tahu Mus’ab telah menganut Islam lalu mengurung dan menyeksanya.


- Sebaliknya, dia tidak jemu-jemu memujuk ibunya memeluk Islam kerana kasih pada ibunya. Mus’ab membuat pelbagai ikhtiar tetapi semua tindakannya hanya menambahkan lagi kemarahan dan kebencian ibunya.


- Suatu hari Mus’ab melihat ibunya dalam keadaan pucat lesu. Dia pun bertanyakan sebabnya. Kata ibunya, dia telah berniat di hadapan berhala bahawa dia tidak akan makan dan minum(mogok lapar) sehingga Mus’ab meninggalkan Islam.


- Jawab Mus’ab kepada ibunya: “Andaikata ibu diberi 100 nyawa, dan nyawa ibu keluar satu demi satu, saya tetap tidak akan meninggalkan Islam”.


- Dengan jawapan tersebut, Mus’ab dihalau. Tinggallah Mus’ab bersama-sama Rasulullah dan sahabat-sahabat yang sangat daif ketika itu.


- Mus’ab meneruskan kehidupannya dengan menjual kayu api. Ibunya amat marah dan malu kerana kebangsawanannya telah dicemari oleh sikap Mus’ab. Adik-beradik Mus’ab juga sering memujuknya kembali menyembah berhala. Tetapi Mus’ab tetap mempertahankan keimanannya.


- Sewaktu ancaman dan seksaan kaum Quraisy ke atas kaum Muslim menjadi-jadi, Rasulullah telah mengarahkan supaya sebahagian sahabat berhijrah ke Habysah. Mus’ab turut bersama-sama rombongan tersebut.


- Sekembalinya dari Habsyah, keadaan beliau semakin berubah. Kurus kering dan berpakaian compang-camping lantaran penyiksaan Quraisy ke atasnya. Keadaan itu menimbulkan rasa sedih di dalam hati Rasulullah. Kata-kata Rasulullah mengenai Mus’ab sering disebut-sebut oleh sahabat:


“Segala puji bagi bagi Allah yang telah menukar dunia dengan penduduknya. Sesungguhnya dahulu saya melihat Mus’ab seorang pemuda yang hidup mewah di tengah-tengah ayah bondanya yang kaya raya. Kemudian dia meninggalkan itu semua kerana cinta kepada Allah dan Rasul-Nya”.


- Ibu Mus’ab mendapat tahu mengenai kepulangannya, dia memujuk anaknya supaya kembali kepada berhala. Dia mengutuskan adik Mus’ab yang bernama Al-Rum untuk memujuknya.


- Namun Mus’ab tetap dengan pendiriannya. Bagaimanapun tanpa pengetahuan ibunya, Al-Rum juga sudah memeluk Islam tetapi dia merahsiakannya. Mus’ab, adalah orang pertama diutus oleh Nabi ke Madinah untuk berdakwah.


- Hasil dakwahnya, ramai penduduk Madinah memeluk islam. Kejayaan cemerlangnya inilah, pembuka jalan kepada Nabi dan para sahabat untuk berhijrah ke Madinah.


- Sewaktu berlaku peperangan Uhud, Mus’ab ditugaskan membawa panji Islam. Peringkat kedua peperangan telah menyebabkan kekalahan di pihak tentera Muslimin. Tetapi Mus’ab tetap tidak berganjak dari tempatnya dan menyeru: “Muhammad adalah Rasul, dan sebelumnya telah banyak diutuskan rasul”.


- Ketika itu, seorang tentera berkuda Quraisy, Ibn Qamiah menyerbu ke arah Mus’ab dan menetak tangan kanannya yang memegang bendera Islam. Mus’ab menyambut bendera itu dengan tangan kirinya sambil mengulang-ulang laungan tadi.


- Laungan itu menyebabkan Ibn Qamiah bertambah marah dan menetak tangan kirinya pula. Mus’ab lantas memeluk bendera itu dengan kedua-dua lengannya yang kudung. Akhirnya Mus’ab ditikam dengan tombak. Maka gugurlah Mus’ab sebagai syuhada’ Uhud.


- Al-Rum, Amir ibn Rabiah dan Suwaibit ibn Sad telah berusaha mendapatkan bendera tersebut daripada jatuh ke bumi. Al- Rum telah berjaya merebutnya dan menyaksikan sendiri syahidnya Mus’ab.


-Al- Rum tidak dapat lagi menahan kesedihan melihat kesyahidan abangnya. Tangisannya memenuhi sekitar bukit Uhud.


- Ketika hendak dikafankan, tidak ada kain yang mencukupi untuk menutup jenazahnya. Keadaan itu menyebabkan Rasulullah tidak dapat menahan kesedihan hingga bercucuran air mata baginda.


-Apabila ditarik kainnya ke atas, bahagian kakinya terbuka. Apabila ditarik kainnya ke bawah, kepalanya terbuka. Akhirnya, kain itu digunakan untuk menutup bahagian kepalanya dan kakinya ditutup dengan daun-daun kayu.


-Demikian kisah kekuatan peribadi seorang hamba Allah dalam mempertahankan kebenaran dan kesucian Islam. Beliau jugalah merupakan pemuda dakwah yang pertama mengetuk setiap pintu rumah di Madinah sebelum berlakunya hijrah. Kisahnya mencerminkan usaha dan pengorbanannya yang tinggi untuk menegakkan kebenaran. Semua itu adalah hasil dakwah & perjuangan yang dibawa oleh Rasulullah.


Mus’ab telah menjadi saksi akan ketegasan mempertahankan aqidah sekalipun diuji antara kasih sayang ibu & keimanan. Mus’ab lebih mengutamakan kehidupan Islam yang serba sederhana berbanding darjat dan kehidupan serba mewah. Dia telah menghabiskan umurnya untuk Islam, meninggalkan kehebatan dunia, berhijrah zahir dan batin untuk mengambil kehebatan ukhrawi yang sejati sebagai bekalan akhirat.




Semua ilustrasi adalah sekadar gambar hiasan... tidak ada kena mengena dengan yang masih hidup atau yang telah meninggal dunia...


Tiada ulasan:

Catat Ulasan