Klik je...!!!

Selasa, 30 November 2010

Detik Manis...


Kadang-kadang bila dah hidup berkeluarga ni, kita tak sabar nak tengok anak-anak membesar. Dengan harapan mereka sihat, bijak dan berjaya dalam hidup... Seboleh-boleh kita nak manjakan mereka, layan dengan baik, belai sepenuh kasih sayang, beri bimbingan & didikan yang terbaik... Tapi, ada kalanya bila dikenang detik-detik indah waktu mereka kecil, mula bertatih, senyum & ketawa, mula pandai bercakap, rasa macam nak diulang sekali lagi detik itu... -Sentimental pulak nampaknya... hehehe.. Sebenarnya malam semalam, aku keluarkan balik semua CD yang menyimpan gambar & video anak-anak dari saat dilahirkan hinggalah sekarang ni, sebab nak buat kad ucapan terima kasih untuk cikgu-cikgu/pengasuh di nursery.. Maklumlah, Ini tahun terakhir kat situ sebelum ke tadika tahun depan... bila dah belek-belek tu, terasa syahdu & terkenang baliklah memori-memori indah melayan kerenah & keletah mereka masa kecik-kecik dulu... Apa-apapun, aku masih sedar & waras... detik-detik tu memang takkan berulang..
-

InsyaAllah, tahun depan kedua-dua anak kami akan ke tadika... masa seakan begitu pantas berlalu... Setelah lima tahun dimanja & dibelai sebagai anak-anak kecil, tiba masanya untuk kami bersedia memberi bimbingan & didikan yang sempurna agar menjadi insan yang berjaya dalam hidup...
-
Ini detik manis kelahiran permata-permata hati kami, Nur Jihan faihanah & Muhammad hafiy Nusair. Nur Jihan dilahirkan Mei 2005 & Hafiy pulak Nov 2006.


Nur Jihan ketika berumur 9 bulan

Hafiy ketika 5 bulan...


Walaupun kami tak dapat mengulangi semua detik-detik manis waktu kecil Nur Jihan & Hafiy, kami masih berpeluang melalui pengalaman yang sama sekali lagi, bersama adik mereka yang dijangka lahir bila-bila masa je ni, insyaAllah... Aku bukan apa, kesian bila dikenang-kenang pada si kakak yang aku sendiri rasa dia mungkin tak puas dimanjakan sewaktu kecil. Mana taknya, usia baru menjangkau sepuluh bulan dapat pulak khabar berita nak dapat adik... nasib baik dia tak faham apa-apa masa tu..

Kali pertama mencecahkan kaki ke air di Pantai bagan lalang...


Kali pertama bawak anak-anak bermain di playground kat masjid Putra. semenjak hari tu, diaorang memang suka mengajak kami ke mana-mana tempat yang ada playground...

Yang bagusnya pada Nur Jihan ni, nampak dia cepat matang, cepat belajar & rajin menolong.. Apa saja yang kami lakukan di rumah, mesti nak tumpang sekaki... senang cerita, kalau boleh dua-dua kaki sekalilah dia nak tumpang...hehehe.., Macam tulah jugak perangai dengan cikgu-cikgunya kat nurserynya... Satu lagi, Nur Jihan rajin mengajar adiknya membaca & mengaji... Nak harap kami mak bapaknya untuk mengajar, bukan tak boleh... tapi memang adiknya tu tak layan... senakal-nakal Muhammad Hafiy ni, takut juga dia pada kakaknya... eloklah tu... Satu sebab mungkin kakaknya itulah yang menjadi teman setianya di nursery sejak umurnya dua bulan lagi... -seronok bila tengok Jihan mengajar Hafiy mengaji, ada gaya macam cikgu... Kadang-kadang tu nampak garang, tegas & serius... sampai Hafiy pun jadi cepat fahamlah apa yang diajar...

Sejak umur 2 tahun, Nur Jihan memang rajin memegang pen & kertas... entah apa yang ditulisnya pun tak taulah... hanya dia yang faham...


Ada gaya macam cikgu tak...?


Walaupun detik manis melayani kerenah & keletah mereka waktu kecil dulu takkan berulang, pengalaman membesarkan mereka berdua sehingga ke hari ini tetap ada kemanisannya... kata orang, nak berenggang pun tak boleh, sehari rasa setahun... hehehe.. Tapi, kalau terpaksa out station, tak boleh buat apa lah.... Setakat ni, memang tak pernahlah kami tinggalkan anak-anak di nursery, rumah jiran atau di mana-mana pun semata-mata supaya kami suami isteri dapat keluar untuk membeli-belah tanpa anak-anak, makan angin atau apa jua aktiviti pun... Pernah juga terniat nak buat macam tu, tapi bila sampai masa, gerenti bertukar fikiran, sebab kami rasa kurang seri & kurang seronok berjalan tanpa anak-anak...


InsyaAllah, semoga setiap detik & hari mendatang yang kami lalui bersama akan terus memberikan pengalaman yang menyeronokkan & menjadi detik manis untuk kami simpan sebagai kenangan seumur hidup... Dan aku percaya, setiap orang pun akan mengharapkan perkara yang sama...

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Klik je...!!!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...