Klik je...!!!

Memaparkan catatan dengan label Hias Laman. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Hias Laman. Papar semua catatan

Isnin, 21 November 2011

Nak Tolong Jugak...


Rutin aku setiap petang, macam biasalah.... membelek, membelai & memandikan semua buah hati kat laman... Takde pilih kasih, semua aku layan sama rata... Tak kiralah Mawar ke, Melati, Kemboja, Kockiana, Jeliti, Loropetalum, Bourgenvilla, Yucca malah jungle bush sekalipun..... Selain menyiram, biasanya aku bersihkan & buang mana-mana daun-daun tua atau yang dah kering... Untuk sebahagian pokok, selain dari disiram & dibersihkan, ada jugak yang perlu ditrim supaya bentuknya kekal menarik & kemas....


Trim atau memangkas/mencantas pucuk-pucuk pokok ni, tujuannya adalah untuk mengekal atau mencantikkan lagi bentuk bonsai atau bebola yang cuba kita hasilkan pada rupa sesuatu pokok tu... -kira macam gunting rambut jugaklah tu... Pokok yang biasa jadi mangsa kat sini termasuklah Jeliti & Loropetalum Chinense.... biasanya dua atau tiga minggu sekali aku akan buat aktiviti ni... habis malas pun, mungkin sebulan sekali, kira ok lah tu... Kalau dah start buat, biasanya aku peruntukan lebih sejam sebab nak pastikan semua pucuk dicantas, daun-daun rosak dibuang, buang jugak segala jenis serangan atau apa juga tanda-tanda yang boleh merosakkan daun & pokok termasuklah belalang atau ulat...



Yang seronok masa buat aktiviti ni, anak-anak pun nak join sekali... mula-mula dulu takdelah aku bagi diorang buat, takut salah trim... gondol pulak pokok aku nanti... Tapi bila diorang dah besar sikit & suka pulak bermain dengan gunting sekarang ni, aku pun tak kisah dah.... Yang penting diorang happy & secara tak langsung dapat menanam minat atau mengasah bakat berkebun... hehehe.... Disebabkan Jihan lebih faham apa yang perlu dibuat & apa tujuannya, so aku bagi Jihan pokok yang besar, & Hafiy pulak aku bagi pokok yang kecik sikit sebab dia tolong trim dengan gunting kertas dia tu je... kira tolong main-main je tu.....



-

Khamis, 29 September 2011

::Leca:: Pelengkap Tanaman Berpasu




Lama dah rasanya tak bercerita pasal aktiviti kat laman. Maklumlah, sejak dua tiga bulan ni masa seakan berlalu begitu pantas. Mungkin semua ni kesan dari kesibukan hakiki tugas rasmi yang sedikit sebanyak memberi implikasi terhadap emosi & rohani yang terasa begitu penat & keletihan sehingga menghadkan kemampuan & keinginan untuk menulis atau mengupdate blog... Takpe, blog ni pun aku anggap sekadar diari masa lapang je, jadi takdelah wajib untuk diupdate setiap hari kalau memang dah takde kelapangan... yang penting tugas di pejabat & tanggungjawab sebagai suami & ayah di rumah dapat dilaksanakan sebaiknya.... Kerja didahulukan, Keluarga diutamakan.... hehehe..








Ok, kali ni aku nak bercerita tentang satu bahan pelengkap dekorasi tanaman yang biasa tapi agak jarang kita nampak, terutamanya pada pasu pokok-pokok hiasan di pejabat atau pusat membeli belah. Bahan yang aku maksudkan ialah Leca... leca ni adalah singkatan dari Lightweight Expanded Clay Aggregate... Sebenarnya aku sendiri baru je kenal dengan bahan ni awal tahun hari tu... Itu pun sebab aku kena berurusan dengan kontraktor yang membekalkan pokok-pokok kat pejabat... Orang kata tak kenal maka tak cinta, bila dah tahu fungsi & peranan leca ni barulah aku terfikir nak cari untuk pokok-pokok kat laman rumah tu...




Demi memenuhi misi mencari Leca, jambatan usang pun sanggup kami seberangi... -Suasana meniti jambatan di salah satu nursery kat Sungai Buloh...



Aku ada tuliskan sedikit maklumat tentang leca kat bawah ni... Mungkin tak berapa tepat atau tak cukup lengkap, tapi memadailah untuk difahami apa itu leca, bahan, pembuatan, fungsi & kelebihannya... Tapi secara ringkas, leca yang berbentuk seperti kekacang ini befungsi sebagai pelengkap kemasan tanaman berpasu yang mampu mengekalkan kelembapan & 'pernafasan', serta melindungi akar pokok dengan lebih baik, selain menutup permukaan tanah yang mungkin tidak berapa cantik untuk dilihat... Sebenarnya, hampir setengah hari kami habiskan di Sungai Buloh (berhampiran hospital) sebelum misi mencari & membeli leca ini berjaya dilakukan. Leca ni jarang digunakan untuk tanaman hiasan di rumah, mungkin sebab kita tak berapa nampak kegunaan & kebaikannya. Harga pun boleh tahan RM5 sekilo.... Tapi awas jika ada anak kecil!!! takutlah disangkanya kacang.... Mungkin leca ni hanya sesuai untuk tanaman berpasu di luar rumah...




Leca ni mungkin lebih sesuai untuk tanaman indoor yang jarang disiram atau kawasan laman berbumbung yang tidak terlalu terdedah dengan matahari...





Sedikit maklumat tentang LECA...




LECA adalah jenis tanah liat khas yang telah dibentuk seperti pelet kekacang dan dibakar dalam oven berputar pada suhu yang sangat tinggi. Dengan pembakaran itu, sebatian organik di dalamnya memaksa pelet untuk berkembang dan berongga manakala permukaan luar menjadi cair & akhirnya mengeras. Pelet seramik yang terhasil adalah ringan, berliang dan mempunyai kadar rintangan yang tinggi serta mampu mengekalkan kelembapan melalui air yang tersimpan di dalamnya.



LECA adalah produk semulajadi yang tidak mengandungi bahan berbahaya. Ianya lengai dengan
nilai pH neutral, tahan fros dan bahan kimia, tidak akan rosak di dalam air, tidak terurai, tidak mudah terbakar.





Antara kelebihannya untuk tanaman ialah...


Menggalakkan pertumbuhan sihat... Lebh 90% daripada Oksigen yang diperlukan oleh tumbuh-tumbuhan di’hirup’ oleh bahagian akar. Apabila akar mengalami ‘kesukaran bernafas', akibat siraman berlebihan atau kepadatan tanah yang keterlaluan, kesuburan & pertumbuhannya boleh terbantut. Dengan penggunan leca yang menyimpan beribu-ribu laluan terbuka untuk pertukaran gas dan saliran air. persekitaran akar akan menjadi lebih sihat & dapat mengekalkan kesuburan & pertumbuhan baru.


Membantu mencegah pereputan akar... Meningkatkan tahap oksigen dan kelembapan yang lebih baik.


Mengurangkan keperluan air... dengan lapisan leca setebal 1-2 inci, kerugian akibat penyejatan dapat dikurangkan dan berkesan memulihara air serta menjarakkan masa siraman.

Menghalang alga dan kulat... Leca juga berperanan untuk mengelak cahaya matahari terus menyuluh ke bahagian pangkal pokok atau permukaan tanah. Dengan itu, ia secara tak langsung menghalang alga bermasalah daripada tumbuh di permukaannya. Lapisan leca 'kering' ini juga mencegah kulat daripada 'menjajah' permukaan tanah dengan memusnahkan larva.

Kestabilan fizikal bagi tanaman... Dapat bertindak sebagai bahan pemberat tambahan ntuk pokok/tanaman didalam bekas kecil.


Menambah keserian pada tanaman...Tanaman akan kelihatan lebih kemas dan bersih secara semulajadi kerana kewujudan leca yang menjadi penutup permukaan tanah & pangkal pokok, sedikit sebanyak dapat menutup keserabutan akar atau kecacatan yang ada dibahagian tersebut.


Isnin, 9 Mei 2011

Melati Air Berkembang Mekar...

Sekarang ni beberapa spesis bunga sedang mekar berkembang di laman kami... Tapi paling seronok bila tengok Melati Air... Memang dialah juara,... Cara berbunga tu, nampak macam laman ni 'dia sorang' yang punya... :) Melati air ni antara pokok hiasan tak bermusim, jadi bila-bila masa dia boleh berbunga.. maknanya sepanjang masa bunganya boleh menjadi santapan mata selagi pokok masih sihat, subur & selalu dibaja...





Sebenarnya memang hari-hari pun pokok ni berbunga, tapi mungkin disebabkan hujung minggu je masa yang ada untuk kita duduk di rumah, jadi berpeluanglah kita menenungnya lama-lama... sebabnya, setiap kuntum bunga melati air ni hanya mekar berkembang sekali dalam hayatnya itupun untuk sehari sahaja dengan tempoh hanya beberapa jam iaitu ketika matahari naik kira-kira pukul 9.00 hingga pukul 1 atau 2 petang... Tapi kita masih berpeluang melihatnya mekar berkembang disebabkan setiap tangkai bunganya mempunyai beberapa biji kuntum bunga yang berkembang mengikut giliran, walaupun giliran hanya hadir sekali sahaja... Lebih lama kalau tangkai bunganya lebih panjang & bercabang...


Kalau ikut jenis, melati air yang aku tunjuk ni kira jenis yang kedua dalam spesis melati air sebab pokok & tangkainya lebih tebal walaupun tak setebal melati air Bangkok... Spesis melati air yang paling banyak dalam koleksi laman aku ialah Melati Air Bangkok... Ada lebih dari lima pokok sebab aku memang semai banyak pokok ni... saje nak sedekah kat kawan-kawan yang berminat...



Selain melati air ni, ada beberapa lagi spesis pokok hiasan yang sedang berbunga, antaranya Bauhinia Kockiana, Kesidang, Kemboja, Adinium Obesum, Bougainvillea & lain-lain... Apalagi kepuasan sebagai tukang kebun, selain menikmati keindahan warna-warni bunga-bungaan yang ditanam sendiri ni berkembang mekar kat laman kita ye tak.....?


Rabu, 4 Mei 2011

Misi Mencari Pasu Tempayan






Sebagaimana yang aku nyatakan sebelum ni, hujung minggu kami + cuti umum hari buruh yang lepas ni memang kami sibuk... Saje menyibukkan diri sebenarnya... :)



Lepas bersarapan di McD, misi utama hari tu ialah mencari pasu tempayan di Xue Bang Nursery... Ni semua gara-gara Cik Puan le yang membuatkan aku berangan-angan nak cari tempayan untuk hiasan kat laman rumah.. (salahkan orang lain pulak ye)... Sebenarnya Cik puan aku ni adalah pembekal tetap majalah LAMAN & IMPIANA untuk setiap keluaran semenjak beberapa tahun ni... sebelum ni ada jugak melanggan beberapa majalah lain yang berkaitan dengan interior design, tapi bergantunglah pada isu keluaran masa tu jika menarik untuk dibeli... Untuk majalah LAMAN kali ni aku perhatikan banyak betul terpampang gambar-gambar pasu & tempayan... Nampaknya terpengaruh jugak aku dengan iklan-iklannya... kalau ikutkan, aku tak habis lagi baca & belek majalah tu, tapi dah terpengaruh nak cari pasu yang serupa macam tempayan... nampak ada macam unsur-unsur klasik & tradisional pulak...



Tapi disebabkan aku malas nak drive jauh-jauh ke Jalan Sungai Buloh tu, aku pun plan cari kat Xue Bang Nursery je... Aku tahu kat situ banyak jual pasu & ada jugak yang iras-iras tempayan... jadilah... kalau nak dapatkan tempayan betul atau yang serupa dalam majalah tu memang macam tak berapa mampu... Lagipun kat Xue Bang ni, dah biasa & dia pun dah kenal..



Sampai-sampai je kat Xue Bang, aku terus cari pasu-pasu berbentuk tempayan tu kat belakang... memang dah lama tahu pasu tu ada kat situ & lama tak terusik... aku pun pilihlah mana-mana yang macam dah nampak season sikit... sebabnya aku tak berapa minat dengan pasu atau tempayan yang nampak baru, atau terlalu berkilat... macam kurang sikit nilai estetikanya... hehehe.. memandai je... :) itu pendapat aku... kalau orang lain mungkin cari pasu yang cantik, baru & berkilat... ye tak..? lain orang lain citarasanya.... Sebelum ni pernah juga kami beli satu tempayan kat Ayer Hitam masa balik kampung... Lepas tawar-menawar harga, dapatlah kurang jadi RM45... kira oklah harga tu kalau ikutkan bentuk & saiznya... Tapi, pasu tempayan yang aku beli kat Xue Bang ni boleh dapat 2 biji dengan nilai yang sama... ok lah tu.... Seronoklah sikit koleksi Jungle Bush aku dapat dok dalam 'rumah' baru...

Jumaat, 29 April 2011

Rahsia Cat Kemasan Perabot Laman...

-
Ini rahsia pasal jenis varnish atau cat kemasan kayu untuk perabot laman...




Ssyyyyyyyyy... (bayangkan aku tengah cakap dalam keadaan berbisik).. sebelum aku teruskan cerita pasal tajuk kali ni, ada permintaan sikit, tolong rahsiakan perkara ni...Tau kenapa, sebab aku dapat maklumat rahsia yang tak berapa besar ni pun dari sorang hamba Allah yang mengusahakan perniagaan perabot laman... Bukan senang untuk aku dapatkan maklumat pasal jenis cat kemasan kayu untuk perabot laman ni... Tahu tak berapa modalnya....? RM1200...!!! ya, seribu dua ratus ringgit... Biasanya mana-mana peniaga pun susah nak bagitau sebahagian rahsia perniagaan diorang, kecuali kita ni jenis mulut manis atau sekurang-kurangnya buat-buat jadi peramah walaupun sebenarnya kita ni taklah berapa peramah, pemarah mungkinlah...... & jalan terakhir ialah beli je mana-mana barang yang dijual barulah boleh dapat maklumat lengkap pasal barang tu...



Hehehe... modal RM1200 tu bukanlah sebab nak beli maklumat pasal cat tu, tapi harga satu set kolam ikan kat PKNS Shah Alam yang aku beli lebih tiga tahun lepas... memang sengaja beli... untuk menambah seri laman yang tengah di rombak masa tu.... bila dah beli tu aku pun boraklah sikit dengan hamba Allah tu... Ye lah, nak juga tahu sedikit maklumat pasal jenis kayu, tahap ketahanan, jenis kemasan cat atau varnish , jangkahayat cat dsb... semua tu kita patut tahu tak kiralah barang apa pun yang kita beli ye tak...? itukan sebahagian hak kita sebagai pelanggan/pengguna... semua soalan boleh dijawab, kecuali masa nak bagi tahu nama cat yang diguna.... mungkin disebabkan aku baru je lepas bayar deposit set kolam ikan tu & beriya-iya nak tahu pasal produk tu... Sebelum tu aku bagi dia soalan cepumas @ soalan perangkap yang terpaksa dijawab kalau diaju pada dia... apa soalan aku..? antaranya “abang memang ada kilang ke...?” jawapannya "haah, kilang kami kat banting..." soalan lain.. "Berapa lama cat ni boleh tahan ye, sebab kalau saya nak cat balik bila sampai tempoh tu nak kena tahu jugak cat jenis apa, takut warna dia lari... tak sama pulak dengan warna asal nanti...." hamba Allah tu pun terpaksalah jugak bagitau... Itu pun dia kata, "Kalau ikutkan, saya tak boleh nak bagitau, sebab benda ni rahsia.... tak ramai yang tahu... cuba abang cari cat jenis......" memang detail jawapannya, & nampak cara dia jawab pun, memang jujur & ikhlas, insyaAllah lepas ni perniagaan dia mesti lebih maju & berjaya... Berniaga atau mencari rezeki ni memang kena jujur kepada pelanggan.... & sebagai pelanggan pun kita sendiri kena ikhlas untuk membeli... baru urusan jual beli tu lebih berkat...



Oklah, disebabkan tujuan asal aku wujudkan blog ni adalah untuk berkongsi pengalaman, ilmu & maklumat, maka aku rasa perlu jugak di dedahkan rahsia yang bukan lagi rahsia ni sebab kalau boleh biarlah tiada rahsia antara aku & sesiapa saje yang sudi bertandang untuk mencari info pasal perabot laman kat inspirasi alam ni... tauke-tauke kat hardware memang jarang atau langsung tak pernah nak mengesyorkan jenama cat ni bila kita tanya dia cat apa yang sesuai untuk kayu(outdoor)... sebelum tu, dua tiga jenis cat kayu jugak yang aku dah cuba... tapi tak berapa puas hati...



Jenama cat kemasan kayu ni bukanlah satu-satunya jenis cat yang paling sesuai digunakan untuk semua perabot laman, cuma kebanyakannya menggunakan cat jenis ini... warnanya pun ada banyak pilihan, ikutlah mana satu citarasa kita... Jadi, janganlah terikat dengan jenis cat ini sahaja ye... Kebanyakan kedai hardware biasanya mengedar jenis cat yang berbeza, jadi mungkin diorang akan mengesyorkan cat jenis lain.... Susah jugak sebenarnya nak cari kedai hardware yang menjual cat jenis ni walaupun dia memang wakil pengedar jenama yang sama... bagi yang berminat untuk dapatkan kesan yang lebih kilat & bersinar, carilah varnish atau clear yang sesuai untuk cat jenis ni... banyak di pasaran, macam-macam jenis... cuma kalau berkilat ni pada aku, kuranglah sikit kenaturelannya... terpulanglah pada citarasa masing-masing...




oklah, ini dia rahsia yang bukan lagi rahsia tu.........





Rahsiakan ye... :)



Sedikit info(berdasarkan pengalaman sendiri):


-Harganya kurang dari RM30 bagi setin 1 liter, & kurang RM100 utk tin 5 liter (harga sekarang mungkin berbeza)


-Tahan hingga lima tahun.. bergantung juga pada tahap pendedahan pada matahari & hujan... kalau selalu sangat berhujan atau terdedah kepada kelembapan, mungkin setakat 3 tahun je... & perlu dicat supaya perabot laman tu tetap awet muda & kayu lebih tahan lama...


-Yang langsung tidak terdedah dengan hujan pulak, masih baik seperti asal setelah lebih kurang 3 tahun disapu...


-Mudah untuk disapu, tidak seperti cat kilat biasa. Hanya perlukan thinner sebagai bahan pencairan.


-Kod warna yang biasa diguna oleh pengusaha perabot laman T101 (Meranti)...


-Sesuai juga untuk indoor...


-Dalam 15 kedai hardware yang aku cari, cuma satu kedai je yang ada jual cat ni.... terpaksa pergi jugaklah ke Seri kembangan walaupun agak jauh dari rumah...


Khamis, 21 April 2011

Anthurium Raffles... Makin Hari Makin Sayang...




Untuk pengetahuan semua... ini ada pengumuman penting... Aku nyatakan sekali je, sebenarnya aku dah lama jatuh hati dengan pokok Jungle bush ni... Aku sunting dia dari penjaganya masa usianya muda remaja lagi, jumpa kat Dengkil.... kali pertama bertemu, hati terus terpaut :) Dulu aku selalu jugak cuci mata kat nursery makcik di Dengkil tu, sampai cik puan gelar makcik tu makwe no 3 aku... no 3..?? sape pulak yang no 2...? ada sorang lagi makcik nursery kat Sungai Pelek... :) hehehe, ramainya makwe... aku ni nampak macam pendiam, memang pun... tapi kalau pasal pokok, aku memang takkan malu nak bertanya.... kita ni bila dah selalu sangat datang kat mana-mana nursery, lama-lama tentulah tauke tu kenal kita ye tak...? Bukan kita je, satu famili dia boleh kenal.... :)



ok, masa beli dulu harganya RM10 je... iye lah, kecik betul masa tu... panjang daun pun tak sampai sekaki.... terfikir jugak nak beli yang besar je terus, tapi harga boleh tahan.. paling murah pun boleh dapat RM45... cuma tu lah, kalau terus beli yang besar takdelah kita rasa kepuasan membelanya ye tak..? Lepas tiga tahun dibela, alhamdulillah... nampak subur & sihat... Panjang daun pun dah mencecah 3 kaki... Memang puashati dapat tengok daunnya yang hijau besinar, panjang & sentiasa 'mengepak' je tu....


Selain dari tarikan pada daunnya yang panjang & lebar, keunikan lain pada pokok Jungle bush ni ialah pada tongkol bunga yang keluar silih berganti dari pangkal pokok... Dua koleksi Jungle bush kat laman kami ni alhamdulillah, ternyata sihat walafiat tahap kesuburannya :) Pokok jungle bush atau Anthurium Raffles ni ada beberapa spesis & jenis... & kesemua jenis pokok ni memang amat popular di Indonesia... walaupun harganya agak tinggi, permintaan tetap ada... Harga juga boleh dipengaruhi oleh saiz pokok, panjang atau lebar daun, bentuk akar serta tongkol-tongkol bunganya.... Negara kita pun apa kurangnya, ramai juga penggemar spesis ni....



6 bulan lepas, aku letakkan pokok ni ke dalam pasu besar yang dibeli kat Nilai... aku masukkan sekali pasu asalnya yang bersaiz kecil... Tapi beberapa bulan lepas dok dalam pasu tu, akarnya yang semakin memanjang tu dah 'bersarang' & melekat dalam pasu tu... Jadi minggu lepas aku keluarkan balik & biar je dalam pasu asal... Masa nak keluarkan tu memang penuh akarnya yang panjang berjurai dalam pasu tumpang tu... cecah 3 kaki jugaklah... terpaksalah aku potong sebab dah melekat & tak mahu akarnya berjurai terlalu panjang... pelik pulak nampak... Tapi kalau nak tau, keunikan lain yang dinilai pada pokok ni ialah akarnya... memang unik pun....




Sesiapa yang ada laman atau rumah yang luas & berminat dengan pokok-pokok hijau (tanpa bunga) Jungle bush ni adalah pilihan yang sesuai.. Sesuai sebagai pokok hiasan luar atau dalam rumah... masih perlu cahaya matahari cuma bukan 100%, kalau direct, daun akan kekuningan & layu... kalau letak dalam rumah pulak, pokok masih perlu di'panaskan' setiap hujung minggu....




Setelah 4 tahun bermastautin sebagai penyeri di laman kami, nampaknya hubungan kami semakin erat... :)


Selasa, 29 Mac 2011

Draco Pulak Dah.....



Selain Dwarf Umbrella tree, aku pun sempat membeli pokok Draco ni kat Xue bang Nursery hujung minggu hari tu... Kalau tak silap mungkin nama saintifiknya Dracaena Draco... Ada jugak yang panggil Dragon Tree... Entahlah.. tiba-tiba je minat nak membela pokok ni bila dah selalu sangat nampak kat nursery... Pernah jugak survey pokok ni dulu-dulu, tapi lebih tertarik dengan pokok Yucca... bila pokok Yucca kat depan pagar tu dah besar panjang, ingat nak cuba pulak Draco pulak...







Antara sebab aku beli pokok ni, pertama sekali sebab aku memang suka dengan spesis ni.. kedua, selalu nampak, tapi bila tanya harga, alamak! mahal gila... berbeza betul dengan harga kat sini... sangat berpatutan... Ketiga, saiznya yang tak terlalu besar & tinggi. Kalau kat tempat lain pokok ni biasanya terlalu besar & tak berapa sesuai dengan laman rumah aku yang sempit tu... keempat, umurnya yang masih muda.. ;) kelima, confirm subur, sebab dah ada tiga anak (dahan muda) kat pangkal batangnya... Bukan apa, pokok Yuca & Draco kalau dah besar sangat nanti tak berapa cantik... kecualilah kalau laman rumah kita luas & tanam dalam pasu besar.. jadi masa tu, bolehlah aku potong batangnya yang meninggi tu untuk di semai... boleh hulur kat kawan-kawan... :)

Jumaat, 4 Mac 2011

Cyperus Papyrus... Penyeri Laman & Penawar Luka...


Kali ni aku nak bercerita serba sedikit tentang satu spesis tanaman yang banyak atau boleh dikatakan terlalu besar kaitan & pengaruhnya dengan Mesir (selain menjadi salah satu koleksi di laman rumah kami)… Maknanya penulisan aku kali ni ada sedikit elemen sejarah, geografi dan sains pertanian, hehehe…. Ini bukan cerita pasal kebangkitan Rakyat Mesir atau kejatuhan pemimpin tertentu, tapi kejatuhan populariti Papirus sebagai medium utama penulisan & karya seni...


-





Spesis yang aku nak perkenalkan kali ni ialah Papirus… Kalau tak silap pernah juga aku masukkan cerita pasal pokok ni tahun lepas, tapi terlalu ringkas... kali ni mungkinlah terperinci sikit... Spesis ni aku kenal 5 tahun lepas & telah pun menjadi salah satu koleksi kesayangan kat laman rumah ni selama 4 tahun.. Papirus atau Papyrus (nama saintifik: Cyperus papyrus) adalah sejenis tanaman air yang dikenali sebagai bahan untuk membuat kertas pada zaman mesir kuno... Tanaman ini boleh didapati dengan banyaknya di pinggir dan lembah Sungai Nil . Kira-kira 3500 tahun SM, bangsa Mesir kuno sudah memanfaatkan papirus. Mereka memprosesnya menjadi kertas melalui kulit-kulit nipis & halus tangkai papirus. Mengikut kajian ringkas yang aku jalankan, sehingga kini banyak terdapat manuskrip, surat-surat, hasil seni peninggalan zaman purbanya yang masih wujud & ada juga yang baru ditemui. Itu menunjukkan betapa kuat & tahannya tangkai papirus yang dijadikan kertas ini…



Kertas yang dibuat dari bahan ini sendiri dikenali sebagai papyrus... mungkinkah perkataan paper itu sendiri mengambil nama sempena istilah papyrus ini...? Selain tu, papyrus ini juga menjadi satu identiti yang unik kepada Mesir selain Piramid, Firaun, Mumia, Universiti Al-Azhar & semua artifak sejarahnya…



Antara karya seni yang mengaitkan populariti papirus pada zaman purba Mesir...




beberapa proses yang dilalui untuk menghasilkan kertas papyrus.




Secara fizikal, daun pokok ni mirip kepada percikan bunga api. Tangkainya tumbuh setinggi setinggi 2-3 meter. Ada juga sumber yang mengatakan tangkainya boleh mencapai sehingga 5 meter. Berbentuk segitiga. Di sekeliling pangkal tangkai tersebut tumbuh dedaunan berserabut pendek..


Karakternya kelihatan halus & terurus, tiada duri atau bulu-bulu halus(miang) di sekitar tangkainya. Disebabkan faktor geografi Sungai Nil serta penggunaan kulit binatang sebagai medium penulisan semakin popular, papirus di Mesir tidak lagi berkembang biak dengan suburnya. Penanaman dikatakan menjadi sukar dan populasi papirus mula menurun. Namun demikian, sekarang papirus banyak tumbuh di tepi-tepi paya, hutan-hutan kecil dan sungai-sungai di Afrika.



Papirus dalam Sejarah Perubatan Islam


Pada zaman nabi Muhammad S.A.W., dikatakan tanaman ini selain dimanfaatkan untuk tikar, juga digunakan untuk menulis Al Quran serta bahan perubatan tradisional. Sebagai bahan untuk menulis, papirus diolah sedemikian rupa hingga menyerupai kertas...


Dalam sejarah Islam seperti yang dicatatkan dalam Hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim berdasarkan informasi dari Abu Hazm bahwa dia mendengar Sahl bin Sa'd As Sa'idi bertanyakan tentang ubat yang digunakan untuk mengubati luka Nabi Muhammad S.A.W. pada waktu perang Uhud. Maka ia berkata;"wajah baginda terluka, gigi serinya pecah dan perisai di kepala Baginda turut hancur. Fatimah az-Zahra membersihkan darah, dan Ali bin Abu Talib menuangkan padanya air dengan perisai. Ketika Fatimah melihat bahawa air tidak menahan darah kecuali semakin banyak, maka dia mengambil sepotong tikar hashir, lalu membakarnya hingga menjadi abu, dan melekatkannya pada luka itu, maka berhentilah darah yang mengalir".

Al Kahal bin Tharkan menjelaskan hadis ini. Menurutnya, tikar yang dimaksudkan di dalam hadis tersebut adalah tikar yang terbuat dari papirus. Pada masa itu tikar banyak terbuat dari tumbuhan ini. Abu yang berasal dari papirus mempunyai kesan positif dalam menahan darah kerana ia mengandung elemen pengering yang mujarab. Abu ini, boleh menghentikan pendarahan pada pesakit hidung berdarah jika ditiupkan sendiri atau bersama cuka ke dalam hidung pesakit…

Selain itu, seperti yang dinyatakan Abdul Mun'im dalam bukunya At-Tadawy bil Qur'an (Pengubatan dalam Al-Qur'an), di dalam tumbuhan ini terkandung garam mineral dalam kadar yang besar; zat inilah yang akan menjadi abu setelah daun-daunnya dibakar. Abu ini sangat halus butir-butirannya hingga mencapai darjat yang besar dan ukuran butir-butirnya dapat mencapai ukuran tepung perekat yang mampu menghentikan pendarahan. Di antara khasiat terpenting adalah sifatnya yang mudah menyerap. Maksudnya, ia mengumpulkan pada permukaannya unsur-unsur lain yang ada padanya. Kerana itu, membakar tumbuhan ini akan menghasilkan abu yang bersih serta mempunyai khasiat untuk membantu membersihkan luka dan menghentikan pendarahan, & juga akan membentuk penutup dan pembalut yang mencegah menyusupnya kuman & bakteria pada bahagian luka. -Fakta mengenai papirus & kaitannya dengan perubatan dalam sejarah islam ini aku dapat dari beberapa sumber kat internet... Mungkin banyak lagi fungsi atau cerita menarik tentang papirus ini...




Spesis Umbrella Papyrus


Dari segi penjagaan, pokok ni sama jugak macam pokok-pokok hiasan air yang lain... perlukan air atau kawasan tanah yang lembab & cukup air... selain tu perlu juga dibaja sekali sekala supaya tangkainya lebih subur & bunganya lebih cantik & sihat waktu berkembang... selain dari spesis Cyperus Papyrus, ada juga beberapa pokok dari keluarga yang sama seperti Umbrella Papyrus & Dwarf Papyrus... Kesemua spesis ni pernah ada dalam koleksi laman aku, tapi sekarang tinggal spesis yang besar ni je...


Dwarf Papyrus


Klik je...!!!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...