Klik je...!!!

Rabu, 27 Januari 2010

Suasana Baru...


Satu lagi projek naik taraf... kali ni memang dah dibuat perancangan lebih awal, lebih kurang sebulan. Setahun lalu, kolam ikan koi aku bersaiz 3 X 3 kaki. Kali ni projek naik taraf adalaj untuk mendalamkan kolam ni. Saiznya masih sama, cuma kedalamannya saje yang ditambah. Walaupun sedikit sahaja perubahan yang cuba aku lakukan, banyak proses & kerja-kerja sampingan yang terpaksa dibuat. Sehingga memaksa aku mengambil masa yang agak lama untuk siapkan.

Kedalaman asal cuma dapat menampung air sedalam 5 hingga 6 inci je, tapi kali ni aku kena potong & tebuk lantai dek mengikut saiz kolam supaya kedalaman kolam sama aras dengan tanah. Sekurang-kurangnya bila siap nanti, dapatlah ikan-ikan koi peliharaan aku berenang-renang dengan lebih seronok dalam kuantiti air yang lebih banyak, lebih sejuk & nyaman... Insyaallah..

Untuk menebuk & menggali kolam sampai kearas tanah aku buat dari jam 6.00 ptg hingga 7.30 mlm.. Lepas tu sambung balik pukul 9 mlm hingga 11.30 mlm.. Lebih kurang 4 jam... Leceh sikit sebab masa buat dek dulu aku tambak kawasan ni dengan sisa2 batu & konkrit. Nasib baik tak simen...

-

Kolam asal yang menempatkan ikan2 koi aku alihkan ke sebelah berhampiran kedudukan asal.. Esok paginya aku dapati dua dari ikan koi aku mati & berada di atas tanah... sedih jugak sebab dah lebih setahun aku bela ikan2 ni. dari saiznya 4 inci, sekarang dah mencecah 8 - 9 inci... Maklumlah projek ni aku buat untuk keselesaan ikan2 ni, tapi kalau sebab projek mendalamkan kolam ni memberi ketidakselesaan hingga menyebabkan kematian, maknanya sia2lah usaha aku... Memang aku terasa... Perasaan sedih & terkilan tu menyelubungi aku hingga beberapa hari... seminggu aku tak sentuh apa2 kerja yang berkaitan dengan kolam tu...

-



Bila aku dah bersedia semula, aku sambung kerja2 mengikat batu, plaster.. & akhir sekali aku sapukan keseluruhan ruang kolam ni dengan sealant berupa sapuan seakan cat untuk tangki /kolam ikan bagi memastikan tiada kebocoran... Disebabkan aku ni bukan pakar dalam kerja binaan, kolam ikan ni memang kurang kemas. Cuma aku bernasib baik & tak risau sangat sebab kolam ni dapat ditutup semula dengan kepungan kayu kolam asalnya.

-

sekarang ni kedalaman kolam ni mencecah 18 inci. Maknanya boleh menampung 3 kali ganda dari kuantiti air sebelumnya... sebelum ikan2 koi dapat dimasukkan ke rumah barunya, kolam ni aku rendam & cuci dulu dengan air paip supaya hilang segala kotoran atau sisa toksid yang mungkin wujud. Sekali cuci, terus masukkan ikan...
-

Alhamdulillah, setelah seminggu aku masukkan ikan2 ni, nampaknya tiada kejadian yang tak diingini berlaku... Ikan2 koi aku pun nampaknya semakin seronok dan dapat berenang dengan bebas...

-

Khamis, 21 Januari 2010

Naik Taraf Tiang...

Satu lagi projek naik taraf.. kali ni tanpa perancangan. Tengahari terfikir, petang terus beli barang, malam tu jugak ikat batu.. jadinya, tempoh antara berangan2 hingga naik batu mengambil masa kira2 8 jam termasuk masa yang diperuntukkan untuk ikat batu selama lebih kurang 4 jam...
-
Mulanya memang ada plan nak beli batu bata, simen & pasir untuk ubahsuai kolam ikan untuk menambah kedalaman & beli lebih sikit untuk naik taraf tiang ni. Tapi bila dah start ikat batu, setiausaha peribadi, merangkap isteri aku bagi cadangan supaya batu bata tu diikat lebih tinggi. Ok jugak cadangan tu... Aku plan naik batu dalam 20 inci je.. . tapi jadinya 3 kaki...
-

Kalau proses naik batu ambil masa 4 jam, proses menampal batu-batu hiasan pulak yang menjadi cabaran utama & besar buat aku. Hampir sehari suntuk lebih kurang 8 jam diperlukan. Tak sangka pulak serumit tu. Tapi, biasalah takde pengalaman, jadi bila siap keseluruhan proses tu, puashati jugaklah dengan hasilnya.
-


Siap je proses menampal batu, kena dipenuhkan pulak ruang2 yang ada di antara batu2 tu dengan simen. Dua tiga hari lepas tu, selepas dibersihkan simen2 yang meleleh atau kelihatan kotor, barulah aku sapukan clear supaya warnanya lebih naik & menonjol selain mengelakkan batu2 ni dari ditumbuhi lumut... Inilah hasilnya..
-




Selasa, 5 Januari 2010

Pokok Air...



Sebahagian besar koleksi pokok-pokok hiasan di taman kami ialah pokok-pokok air. Pokok jenis ini biasanya tertumpu pada daun serta bunganya yang unik & berbeza dengan pokok tanah. Antara kelebihannya, pokok-pokok ini tidak merisaukan kita sekiranya terpaksa ditinggalkan untuk jangka masa yang lama berbanding pokok bunga yang ditanam di pasu yang perlu disiram setiap hari. Walaupun bekalan air mencukupi untuk jangkamasa yang lama, pokok jenis ini masih memerlukan sedikit tanah & baja jika perlu bagi menggalakkan tumbesaran pokok yang lebih gemuk & subur serta rajin berbunga.
-

ini antara koleksi pokok air yang aku jadikan hiasan landskap taman. Sebahagian aku dapatkan di sungai Buloh, sebahagian lagi dari sepang. Ada juga yang aku bawa khas dari Johor.


Harus diingat, walaupun ianya cantik dipandang mata & menimbulkan susasana hijau & segar, pokok-pokok ini juga mampu menghadirkan tetamu yang tidak diundang iaitu nyamuk & jentik-jentik. Justeru pastikan setiap pasu yang berisi air disertakan dengan pembunuh jentik-jentik sebelum kita sendiri menjadi mangsa.


Bunga-Bunga Mekar Di Taman...

-


Sekarang ni, landskap rumah aku bukan sahaja dipenuhi dengan pokok berdaun sahaja, tetapi aku dah mula menanam pokok-pokok berbunga. Sebabnya, isteri aku lebih cenderung dengan bunga yang berwarna warni. Maklumlah, perempuan & bunga... Ada orang kata, musim hujan macam sekarang ni adalah masa yang paling sesuai untuk menanam pokok. (tapi bukan semua spesis). Pokok-pokok pun lebih subur dan segar. Begitu juga pokok-pokok berbunga yang semakin rancak berbunga. Burung-burung kecil pun semakin ligat berkicau setiap pagi. Seronoklah sikit kalau dapat bersarapan hujung minggu sambil menyaksikan suasana macam tu kat taman sendiri...
-


Ini antara koleksi bunga yang tengah aktif memaparkan kecantikan masing-masing. Sempatlah juga aku snap untuk memenuhi masa terluang.
-



Isnin, 4 Januari 2010

Projek Naik Taraf Tembok Batu



Alhamdulillah, syukur kehadrat Allah swt. Dengan keizinanNya, jantung masih berdegup normal, fikiran masih waras & tubuh badan pun masih sihat & segar dalam menuju cabaran kehidupan tahun baru 1431 H & tahun 2010 M. Nampaknya perjalanan hidup aku & keluarga sepanjang tahun lepas tidaklah berlalu tanpa sebarang perubahan & manfaat. Begitu juga dengan penutupnya. Selain dapat bercuti hujung tahun, sempat jugak aku siapkan beberapa projek kecil untuk mengupgred struktur-struktur binaan yang memang dah sedia ada di laman rumah. Kiranya macam satu proses tambah nilai supaya nampak lebih berseri sikit.

-


Projek kali ni bukanlah satu projek besar, umpama menambah bawang goreng , mentimun & sos cili diatas mi goreng mamak. Orang kata, nampaklah lebih menyelerakan.


-

Ini lah perubahan yang berlaku terhadap pintu pagar hadapan rumah aku dalam masa dua tahun.

Projek pertama yang aku buat ialah melekatkan kepingan batu-batu hiasan dinding kepada tiang/tembok pintu pagar & pintu taman. Projek ni memang dah lama dirancang cuma tak berkesempatan. Lagipun takde skill & belum cukup ilmu untuk dilaksanakan sendiri. Masih dalam peringkat belajar, tapi aku cuba beranikan diri sebab kalau tak cuba kita takkan tahu kemampuan serta hasil kerja kita.


Sejak dulu lagi memang aku selalu survey batu-batu hiasan dinding ni, tapi tak terniat pun nak membeli. Cuma bila difikirkan cuti panjang yang aku ambil tidak diisi dengan apa-apa projek, aku rasa macam rugi & masa terbuang begitu sahaja. Mulanya aku rancang untuk membesarkan kolam ikan hiasan yang aku nampak semakin hari semakin kecil untuk menempatkan ikan-ikan koi yang semakin meningkat dewasa. Survey punya survey, tak juga jumpa tangki kolam dengan saiz yang aku cari.-lebih dalam dan lebar supaya dapatlah ikan-ikan tu bergerak lebih bebas & senang hati. Hujung-hujung, benda lain yang aku jumpa.

-


Taknak pencarian & perjalanan aku menjadi sia-sia, aku fikirkan untuk sesuatu yang membolehkan aku melakukan apa jua kerja untuk menambah keserian landskap di rumah. akhirnya aku terjumpa satu kedai batu-batu hiasan dinding yang membuat promosi. maklumlah, hujung tahun-Year End Sale ;)

-

Inilah jenis batu hiasan dinding yang menjadi pilihan aku


Antara peralatan untuk proses memotong dan memasang batu hiasan dinding


Masa nak membeli batu ni pun ada juga masalahnya. Susah nak memilih, sebab semua cantik. Hampir tiga-empat puluh jenis yang dipamer. Bila tengok sample, semuanya menarik... aku biasalah, cari yang aku rasa cantik tapi murah... bila dah berkenan & aku rasa sesuai untuk landskap rumah aku, aku belilah dalam 25 kaki persegi dalam pelbagai saiz.. sekali dengan simen gam.


Proses memasang pun satu masalah bagi aku sebab takde pengalaman. Belajar pun dari pengamatan serta buku-buku landskap.

-




Mula-mula tu leceh jugak sebab aku kena ketuk-ketuk sikit dinding yang hendak ditampal batu hiasan ni sebab kena pastikan permukaan dinding & tembok kasar barulah boleh melekat. Untuk 5 kaki persegi pertama, aku ambil masa lebih kurang sejam lebih. Bila macam dah faham sikit cara memasangnya, aku dapat siapkan keseluruhan dua tiang dalam masa 3 jam, untuk lebih kurang 17 kaki persegi. Boleh tahan... cuma tak berapa kemas sebab ukuran batu-batu tak berapa sama saiznya. Ukurannya berbeza 1 - 2 milimeter, jadi ada yang rapat, ada yang renggang sedikit. Kerja-kerja aku ni jadi mudah sikit sebab aku memang dah ada semua peralatan yang diperlukan selain bantuan cuaca redup dari pagi hingga ke tengahari sebelum hujan di waktu petang...

-




Hari kedua, aku siapkan pulak untuk tembok pintu pagar. Siap lebih kurang 4 jam sebab banyak kerja-kerja memotong perlu dilakukan. paginya ada gotong-royong Persatuan penduduk, jadi aku mula lewat sikit hari tu. Mujurlah cuaca pun redup... Nampaknya kerja-kerja menampal batu dinding ni aku cuma perlukan 2hari untuk memasangnya. Tak sesukar yang aku jangka & aku rasa semua orang boleh buat kalau cukup peralatan & bahan-bahannya. Percayalah...

-



Masuk hari ketiga, aku dah tak tau nak buat apa sebab kerja-kerja menampal dah siap. jadi disebabkan impian untuk membesarkan kolam tak dapat direalisasikan, aku pun memikirkan untuk mencantikkan kawasan sekitar kolam tu, termasuklah dek yang menempatkan kolam kecil tu. Hasil pengalaman yang dikutip selama 2 hari untuk kerja-kerja menampal batu hiasan, tak aku persiakan begitu saja. Aku dapatkan serpihan-serpihan mozek dari lebihan semasa mengubahsuai taman tahun lepas untuk aku lekatkan di sekitar dek. Alhamdulillah, berjaya aku siapkan dalam masa 3 jam... hasilnya bolehlah dibanggakan untuk orang tak berpengalaman macam aku...



Sempurnalah Rukun Islam kelima...



Alhamdulillah, syukur kepada Allah.... Sempurnalah impian kedua orang tua & nendaku menyempurnakan Rukun Islam kelima. Impian aku juga untuk memastikan mereka semua sempat melaksanakannya sebelum menghembus nafas terakhir. Lebih-lebih lagi melihat keuzuran & keadaan kesihatan mereka yang tidaklah berapa baik & cergas sepenuhnya. Biasalah orang tua...
-

Macam-macam cerita & kisah dari Tanah Suci yang aku dengar dari dokumentari mahupun majalah-majalah tentang keadaan & suasana berbeza, serta perkara-perkara ganjil yang dilalui semasa di sana, namun tidak pula aku dengar dari mereka bertiga. Alhamdulillah, Selain dari hujan lebat & kesesakan jemaah, tiada kesulitan lain yang dilalui. kesihatan mereka juga baik.
-
Yang pastinya, setiap detik & hari yang dilalui oleh mereka merupakan satu pengalaman yang takkan mungkin dilupakan sepanjang hayat. Apa jua yang terjadi & apa jua yang dilalui di sana hanya mereka yang merasai... hanya Allah yang mengetahui...

Semoga mereka semua memperolehi haji yang mabrur, insyaAllah..

Terima kasih sekali lagi kepada pihak Tabung Haji yang berjaya menguruskan setiap langkah & perjalanan semua jemaah hingga mereka berjaya menyempurnakan Rukun Islam kelima ini dengan jayanya.


-Impian aku yang belum terlaksana...

Klik je...!!!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...