Klik je...!!!

Selasa, 30 November 2010

Detik Manis...


Kadang-kadang bila dah hidup berkeluarga ni, kita tak sabar nak tengok anak-anak membesar. Dengan harapan mereka sihat, bijak dan berjaya dalam hidup... Seboleh-boleh kita nak manjakan mereka, layan dengan baik, belai sepenuh kasih sayang, beri bimbingan & didikan yang terbaik... Tapi, ada kalanya bila dikenang detik-detik indah waktu mereka kecil, mula bertatih, senyum & ketawa, mula pandai bercakap, rasa macam nak diulang sekali lagi detik itu... -Sentimental pulak nampaknya... hehehe.. Sebenarnya malam semalam, aku keluarkan balik semua CD yang menyimpan gambar & video anak-anak dari saat dilahirkan hinggalah sekarang ni, sebab nak buat kad ucapan terima kasih untuk cikgu-cikgu/pengasuh di nursery.. Maklumlah, Ini tahun terakhir kat situ sebelum ke tadika tahun depan... bila dah belek-belek tu, terasa syahdu & terkenang baliklah memori-memori indah melayan kerenah & keletah mereka masa kecik-kecik dulu... Apa-apapun, aku masih sedar & waras... detik-detik tu memang takkan berulang..
-

InsyaAllah, tahun depan kedua-dua anak kami akan ke tadika... masa seakan begitu pantas berlalu... Setelah lima tahun dimanja & dibelai sebagai anak-anak kecil, tiba masanya untuk kami bersedia memberi bimbingan & didikan yang sempurna agar menjadi insan yang berjaya dalam hidup...
-
Ini detik manis kelahiran permata-permata hati kami, Nur Jihan faihanah & Muhammad hafiy Nusair. Nur Jihan dilahirkan Mei 2005 & Hafiy pulak Nov 2006.


Nur Jihan ketika berumur 9 bulan

Hafiy ketika 5 bulan...


Walaupun kami tak dapat mengulangi semua detik-detik manis waktu kecil Nur Jihan & Hafiy, kami masih berpeluang melalui pengalaman yang sama sekali lagi, bersama adik mereka yang dijangka lahir bila-bila masa je ni, insyaAllah... Aku bukan apa, kesian bila dikenang-kenang pada si kakak yang aku sendiri rasa dia mungkin tak puas dimanjakan sewaktu kecil. Mana taknya, usia baru menjangkau sepuluh bulan dapat pulak khabar berita nak dapat adik... nasib baik dia tak faham apa-apa masa tu..

Kali pertama mencecahkan kaki ke air di Pantai bagan lalang...


Kali pertama bawak anak-anak bermain di playground kat masjid Putra. semenjak hari tu, diaorang memang suka mengajak kami ke mana-mana tempat yang ada playground...

Yang bagusnya pada Nur Jihan ni, nampak dia cepat matang, cepat belajar & rajin menolong.. Apa saja yang kami lakukan di rumah, mesti nak tumpang sekaki... senang cerita, kalau boleh dua-dua kaki sekalilah dia nak tumpang...hehehe.., Macam tulah jugak perangai dengan cikgu-cikgunya kat nurserynya... Satu lagi, Nur Jihan rajin mengajar adiknya membaca & mengaji... Nak harap kami mak bapaknya untuk mengajar, bukan tak boleh... tapi memang adiknya tu tak layan... senakal-nakal Muhammad Hafiy ni, takut juga dia pada kakaknya... eloklah tu... Satu sebab mungkin kakaknya itulah yang menjadi teman setianya di nursery sejak umurnya dua bulan lagi... -seronok bila tengok Jihan mengajar Hafiy mengaji, ada gaya macam cikgu... Kadang-kadang tu nampak garang, tegas & serius... sampai Hafiy pun jadi cepat fahamlah apa yang diajar...

Sejak umur 2 tahun, Nur Jihan memang rajin memegang pen & kertas... entah apa yang ditulisnya pun tak taulah... hanya dia yang faham...


Ada gaya macam cikgu tak...?


Walaupun detik manis melayani kerenah & keletah mereka waktu kecil dulu takkan berulang, pengalaman membesarkan mereka berdua sehingga ke hari ini tetap ada kemanisannya... kata orang, nak berenggang pun tak boleh, sehari rasa setahun... hehehe.. Tapi, kalau terpaksa out station, tak boleh buat apa lah.... Setakat ni, memang tak pernahlah kami tinggalkan anak-anak di nursery, rumah jiran atau di mana-mana pun semata-mata supaya kami suami isteri dapat keluar untuk membeli-belah tanpa anak-anak, makan angin atau apa jua aktiviti pun... Pernah juga terniat nak buat macam tu, tapi bila sampai masa, gerenti bertukar fikiran, sebab kami rasa kurang seri & kurang seronok berjalan tanpa anak-anak...


InsyaAllah, semoga setiap detik & hari mendatang yang kami lalui bersama akan terus memberikan pengalaman yang menyeronokkan & menjadi detik manis untuk kami simpan sebagai kenangan seumur hidup... Dan aku percaya, setiap orang pun akan mengharapkan perkara yang sama...

Isnin, 29 November 2010

Ada Apa Dengan MAHA 2010...


Jumaat lepas, dalam perjalanan balik kerja tu aku drive sambil dengar berita kat radio... katanya, jumlah pengunjung MAHA(yang baru bermula pagi tu) hingga petang tu dah mencecah 50,000 orang... hati aku tertanya-tanya, boleh caya ke...? Jadi, hujung minggunya aku ambil kesempatan untuk menjengok sekejap, nak tau juga ada apa dengan MAHA sampai boleh menarik 50,000 pengunjung dalam beberapa jam... MasyaAllah, hampir 2km sebelum sampai ke tapak MAHA tu kereta dah bersusun kat sepanjang jalan... Nasib baiklah aku pergi sorang je... kalau tidak memang kena patah baliklah gamaknya sebab sebelum tu memang cadang nak bawak famili, maklumlah dah terbiasa kalau jalan-jalan tu mesti sekeluarga, tapi memandangkan kudrat isteri yang dah tak mengizinkan (sarat dah), terpaksa bergerak solo je..


Ini spesis yang paling menarik perhatian aku, tapi bajet berhemah yang aku peruntukan untuk MAHA 2010 berjaya mengawal perasaan & keinginan aku dari berangan untuk memilikinya...

Berbalik pada cerita MAHA tadi, Kalaulah berita malam tu kata 300,000 hingga 500,000 ribu pengunjung yang datang untuk hari itu sahaja pun aku percaya... Memang ramai sangat... Alhamdulillah, dapat jugak parking 'halal' walaupun ambil masa setengah jam dari jalan masuk Pintu 2 ke tempat parking tu (dlm 1km)...-RM3 sekali masuk...

Cantik kan...?
-
Hujan yang turun tak menghalang pengunjung untuk ke sini... -ada juga beberapa gerai yang menjual anak-anak pokok selain orkid di kawasan ni...

Memang aku ke sana untuk menjengok je, bayangkanlah 3 jam aku habiskan masa kat sana tapi cuma sempat meronda kawasan kedai-kedai orkid je... -3 jam!!! Mana taknya, 2 round untuk cuci mata, dua round untuk pilih orkid sambil survey harga... & seround untuk membelek, memilih & berfikir panjang... Dan pada pusingan keenam barulah aku berjaya digoda untuk membeli dua spesis orkid... Tak ingat pulak nama spesis-spesis ni... Tak sangka, ramai jugak peminat orkid yang datang & memborong kat sini walaupun hujan turun sekejap-sekejap... Kepada para peminat orkid tu, bolehlah datang ke MAHA 2010 ni. Memang banyak spesis orkid yang dipamer & dijual... Harga sapokok yang dah berbunga dijual dari serendah RM5 hingga setinggi RMXXX.00... Nak murah, bolehlah beli anak-anak pokok.... ok jugak tu...

2 spesis yang berjaya menambat hati...

InsyaAllah, ada masa terluang lagi nanti bolehlah aku ke sana lagi untuk fasa & misi seterusnya walaupun hakikatnya populasi pokok hiasan kat laman rumah aku dah kira ditahap tepu... Takpe, dapat cuci-cuci mata je pun jadilah... Bolehlah belajar teknik-teknik atau teknologi pertanian terkini... ilmu baru tu...

Kesimpulannya, kalau ditanya ada apa dengan MAHA 2010? jawapannya macam-macam ada...selagi ianya berkaitan dengan pertanian, penternakan & industri berkaitannya... orkid tu hanya sebahagian kecil je...

Khamis, 25 November 2010

Cuti Aidiladha...


cari anak bulan ke...? Dah 10 Zulhijjah, anak bulan pun dah dewasalah hafiy... -bergaya dengan baju rayanya di pagi Aidiladha...


Seperti biasa, cuti raya haji kami sambut di kampung, mana lagi kalau bukan kat Johor... maklumlah dua-dua orang Johor... Kali ni kami puas bercuti, 6 hari... Atas faktor kerja, kami cuma dapat balik malam raya, nasib baik berjaya sampai tengah malam... Bukan apa, biasanya kalau bawak kereta malam-malam ni aku cepat letih & mengantuk, jadi selalu jugaklah aku berenti kat R&R atau hentian sebelah... & biasanya cadang nak rehat sekejap je, tup tup tersedar rupanya kami dah berhenti lama & tertidur dua tiga jam kat situ.. & kadang-kadang tu subuh baru sampai... biasalah, letih sikit berhenti, ngatuk sikit tidur kejap... Sejak berkeluarga ni, aku memang tak berani nak melawan gelombang elektromagnet dan tarikan graviti kelopak mata yang macam nak tertutup bila memandu kat lebuhraya ni... bahaya...

Tengoklah tu Hafiy & Jihan, sempat berposing depan kedai coklat kat The Zone...

Tak banyak aktiviti yang dapat kami lakukan memandangkan keadaan buah hati yang semakin sarat & menunggu hari ni... Tunggu hari..??? ya, menunggu hari... Insya Allah, bila-bila masa je Nur Jihan & Hafiy akan dapat adik... Apapun, dalam sarat-sarat tu sempat jugaklah kami berkunjung ke The Zone di JB. Tiba-tiba pulak baby dalam perut teringin nak makan coklat yang ada dijual kat kompleks bebas cukai tu... sempatlah kami sambar beberapa jenis...


Ini antara aktiviti anak-anak bersama sepupu-sepapat kat kampung... Puaslah diorang main kejar-kejar & berlari sakan... -satu aktiviti yang sukar mereka lakukan di rumah sendiri... pelikkan..? padahal bukan susah pun nak berlari-lari tu...


Atas faktor keselamatan, kami terpaksa petik buah mangga ni untuk balik kampung bersama-sama. bukan apa, takut kejadian tak diingini berulang... kempunan lagi nanti... Terpaksalah diperam empat hari sampai kuninglah kulitnya... puas makan...
-
Sempat jugak belek-belek beberapa spesis flora yang menarik perhatian aku... oh ya, masa balik hari tu, aku ada bawakkan satu pokok bauhinia kockeana khas untuk laman bonda... Saje nak menambah koleksi & seri laman rumah... aku beli kat Nilai sebulan lepas... Insya Allah, tak lama lagi berbungalah tu...

Operasi Keria Yang Ceria...

Sebelum balik bercuti raya haji minggu lepas sempat jugak kami mencuba bakat membuat kuih kegemaran sekeluarga-kuih keria. Sebenarnya dah beberapa kali kami buat kuih ni, jadi bolehlah kalau setakat buat untuk makan-makan sekeluarga sambil menonton tv tu... kalau ikutkan beli je kat kedai lagi senang, tapi saje je nak menggilap bakat membuat kuih keria yang agak lama ditinggalkan. kadang-kadang tu kami beli je kuih keria sejuk beku, lagi senang. Agak-agak teringin nak makan, goreng jelah...



Kebetulan pulak anak-anak kami memang seronok & suka mengacau bila tengok mak bapaknya menguli tepung. Meriahlah jadinya... hasilnya, kalaulah diberi markah untuk kuih yang kami hasilkan ni, mungkin cukup-cukup makan je untuk lulus... Tak kisahlah beb, yang penting keseronokan yang kami dapat dari suasana malam tu semasa menguli, menggentel dan membentuk kuih-kuih ni sambil melihat keletah anak-anak yang turut sama menjadi chef....
-

Rabu, 10 November 2010

Bunga-Bunga Mekar Di Laman...


Nampaknya dalam beberapa bulan ni aku takde buat sebarang projek pertukangan untuk rumah atau laman. Maknanya aktiviti aku hanya tertumpu pada rutin harian je... Selain keluarga, dapatlah aku bagi tumpuan sepenuhnya kepada pokok-pokok hiasan yang sedia ada...


Bunga kesidang ni favorite isteri aku, tak pernah miss cium bunga ni setiap petang sebab wangi & mendamaikan jiwa ...
-
Buat masa ni sebahagian pokok sedang berbunga terutamanya Kockiana yang memang tengah kemaruk bunga... yang lain tu termasuklah kemboja kuning, melati air, kesidang, kertas & beberapa spesis lain... Seronok sebenarnya bila kita balik kerja petang-petang & terpandang laman rumah dipenuhi pokok-pokok menghijau & bunga-bunga yang tengah berkembang mekar... tak payah dah nak bawak famili ke taman bunga... Lepak-lepak kat wakaf sambil pekena kopi atau teh panas dgn goreng pisang, tak pun roti bakar cukuplah... jimat petrol, jimat masa & jimat tenaga... hehehe..


Yang ni favorite aku...

Nampaknya musim tengkujuh dah mula... Hujan setiap petang & malam.. tak lama lagi hujan tak kira masa... Seronoknya hujan ni sebab dapat melembapkan tanah & menyuburkan tanaman/pokok-pokok. Tapi air ni samalah jugak macam api, kecil menjadi kawan, besar dah jadi lawan, satu bencana... Aku tumpang simpati pada mangsa-mangsa banjir yang terlibat di Utara sana.. Semoga mereka semua tabah & redha dengan ketentuan ini... & sama-sama kita doakan agar banjir yang melanda segera surut supaya mereka-mereka yang terlibat dapat meneruskan kehidupan seperti biasa.. insyaAllah...

Manggaku Dirampok Maling...

Mangsa kejadian...

Mungkin terlalu geram dengan saiznya yang seakan tak munasabah, atau tak tertahan pada imaginasi tentang rasanya setelah membayangkannya berhari-hari, maka tergerak isi hati untuk cuba mencuit, memegang, lantas dipetik terus dari tangkainya tanpa sempat berfikir... hehehe... tak kisahlah, dah bukan rezeki kami nak merasa buah mangga tu... apa sangatlah nak dikesalkan dengan sebiji mangga... Memang hari-hari aku belek setiap 4 biji yang semakin melayut masa menyiram pokok-pokok bunga. Tapi dihari kejadian tu berlaku kami balik lewat sikit sebab dah janji nak bawak anak-anak ke suatu tempat. Baliknya aku perasan tinggal tangkai je...
-
Ini pulak mangsa keadaan... Boleh tahan, sedap.


Apa-apa pun, alhamdulillah... sehari sebelum tu sebenarnya kami dah merasa sebiji yang masak di pokok... Yang dah bukan rezeki tu, aku niat sedekah jelah pada hamba Allah yang terlibat tu. Cuma mungkin kalau dia dapat sabar sikit dalam seminggu, dapatlah dia merasa keenakannya yang sebenar bila masak.. Semoga dengan niat sedekah tu pokok mangga ni akan terus rajin berbunga & berbuah lebih lebat. Sekarang ni pun sebenarnya masih berbunga & ada lah dalam sepuluh biji yang aku nampak berpotensi.. alhamdulilah...

Cerita Kedai Pasu...

Dua daripada 4 pasu yang aku beli aku hadiahkan buat 2 koleksi Jungle Bush yang semakin sihat ni...


Ini bukan cerita kedai kopi, tapi cerita kedai pasu... Bukan cerita baru, lebih kurang 3 bulan berlalu... Kami sekeluarga ke Nilai Square tanpa dirancang... Lain yang kami cari, lain pulak terpandang. Sebuah kedai yang penuh dengan pasu-pasu besar. Bila datang dekat & masuk ke dalam, bukan setakat pasu-pasu je, tapi banyak lagi barang-barang hiasan taman/rumah yang turut dijual. Nama kedai tu Laras Anjung. Walaupun tak pernah bertanya asal-usulnya, aku rasa barang-barang kat tempat tu kebanyakan atau hampir semuanya diimport dari Indonesia. Boleh tahanlah...


Antara koleksi pasu-pasu besar yang dijual... menarik, sesuai buat pokok-pokok hiasan untuk laman rumah/taman yang luas.


Penghujungnya, kami beli 4 biji pasu. Keluasan laman rumah yang sekangkang kera tidak berupaya menghalang niat aku yang lebih prihatin pada nasib akar-akar pokok yang semakin sempit. Satu untuk Yucca, 2 untuk Jungle Bush & sebiji lagi buat pokok 'Ong'... 4 koleksi laman rumah kami yang semakin sihat & membesar dengan subur...

"Kalau nak masukkan Jihan dalam pasu ni pun muat kan Abah...!"


Selasa, 9 November 2010

Hafiy & Ultraman...



Muhammad Hafiy ni memang fanatik pada Superhero pemusnah raksasa jepun-Ultraman... Semenjak umurnya 2 tahun setengah, inilah superhero kesayanganya selain Ben 10. bayangkan semua spesis ultraman dia kenal, -gaia, tiga, dyna, mebius, nexus, cosmos & beberapa lagi spesis yang aku sendiri tak kenal... nama2 watak pun dia kenal, -fujimia, gamu, daigo, asuka.. & banyak lagi. Aku sendiri tak ingat.. yang aku ingat zaman kecik2 dulu satu je, -ayata..

Khamis, 4 November 2010

Selamat Hari Jadi Hafiy...

"Hafiy dah empat tahun tau...!"
-
Alhamdulillah, harini genaplah 4 tahun umur Muhammad Hafiy Nusair.ikutkan tarikh hijrah 12 syawal 1427. Insya Allah tahun depan ni bolehlah join kakaknya masuk tadika. Sebenarnya sejak beberapa bulan lepas aku memang dah plan nak hadiahkannya basikal macam kakaknya. Tapi Muhammad hafiy ni tak teruja langsung bila aku bagitau pasal hadiah basikal ni. Bila kami bawak keluar cari basikal, dia pulak sibuk cari CD Ultraman atau mainan. Masuk je kedai basikal bila suruh cuba basikal2 yang ada kat kedai tu, dia pun jawab "taknaklah".. confirm 100% memang tak sama macam kakaknya dulu, 3 tahun dah ada 2 basikal..
-
"Inilah hadiah basikal saya, jangan jeles ye..."

Bila tengok kesungguhan kami nak beli jugak basikal untuk dia akhirnya dia pun kata "yelah yelah, Hafiy naklah"... itu pun setelah beberapa kali dalam minggu ni kami bawak dia jalan-jalan tengok basikal kat area Nilai 3, Puchong, Putrajaya, Dengkil & kawasan2 sekitarnya.. Teringat masa kecik dulu, susahnya nak memujuk mak bapak untuk dapatkan sebuah basikal. Tapi alhamdulillah, akhirnya dapat jugak , itupun masa umur dah masuk darjah 4 & terpaksa berkongsi bertiga dengan kakak & adik.. kesian bapak & mak masa tu, iye lah, hidup kat kampung dengan anak-anak yang ramai bukannya senang nak simpan duit beli basikal...
-

"Tengok boleh, pinjam sorry, saya pun belum puas main lagi..."

Kepada Hafiy, kami ucapkan Selamat hati keputeraan ke 4 tahun, semoga bahagia & ceria selalu, dilimpahi rezeki, diberkati usianya serta dirahmati Allah.. & yang penting, moga membesar dengan sihat & menjadi anak yang soleh & berguna untuk agama, keluarga, bangsa & negara...


" Nak tumpang ke...?"

Dalam membesarkan anak-anak, kami tak berniat nak berikan kemewahan yang melampau buat anak-anak, ala kadar & ikut kemampuan.. cuma rasanya anak-anak kita pada masa ini berhak menikmati sedikit kesenangan yang kita kecapi hasil kepayahan orang tua kita dulu membesarkan kita sepenuh kasih sayang & pengorbanan yang kita sendiri tak mampu untuk membalasnya... Aku percaya, pastinya mereka juga menumpang gembira bila melihat anak cucunya berjaya dalam hidup hasil dari didikan dan pengorbanan mereka sebelum ini...

Jutaan terima kasih & tahniah buat kedua ibubapa kita atas kejayaan mereka mendidik dan menjaga kita hingga menjadi seorang manusia.. Pesoalannya, mampukah kita mendidik & membesarkan anak-anak sebaik mereka...?

Selasa, 2 November 2010

Pokok Bunga Api...

Pokok Bunga api ni aku bawa khas dari rumah mak kat Johor. Masa tu baru setahun duduk rumah. Awal-awal dulu, rajin jugak aku biakkan pokok ni untuk kawan-kawan. Senang sangat untuk disemai. Sekarang aku tak larat dah sebab takde space untuk membiakkan apa-apa pokok pun... so mana-mana pokok yang terlebih saiz atau kuantiti tu terpaksalah aku cantas je...



Klik je...!!!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...